Gelaran ‘harimau’ mungkin sudah sinonim dengan Malaysia namun sehingga kini, Malaysia masih belum mampu menjadi salah sebuah negara kuasa ekonomi Harimau Asia. Harimau Asia adalah satu istilah yang merujuk kepada negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan berdaya saing.

Bagi sesebuah negara yang mempunyai ekonomi yang pesat membangun mereka akan digelar sebagai Harimau Asia. Antara negara yang sudah pun digelar sebagai Harimau Asia adalah Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan. Keempat-empat negara ini digelar sebagai Harimau Asia kerana ekonominya yang berkembang dengan baik sejak 1990-an.

Sementara itu, Malaysia hanya digelar sebagai anak harimau bersama Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand sebelum kegawatan ekonomi melanda Malaysia pada tahun 1997. Perkara ini juga telah disahkan oleh pakar ekonomi antarabangsa ketika forum Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di UITM, Shah Alam.

Sejak kebelakangan ini, topik untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Harimau Asia hangat diperdebatkan. Tidak dinafikan bahawa Malaysia berpotensi tinggi untuk disegani dunia sebagai kuasa ekonomi asia yang berdaya saing. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan usaha keras oleh semua pihak bagi merealisasikan hasrat ini.

Malaysia perlu merancakkan pertumbuhan ekonomi bagi menarik pelabur asing

Sehubungan itu, kerajaan perlu melakukan banyak kerja rumah dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Harimau Asia. Kini, genap setahun pentadbiran Malaysia dibawah pentadbiran kerajaan PH di mana adalah penting untuk kerajaan tidak lagi membuat sebarang keputusan bersifat U-turn. Keputusan seperti ini akan menyebabkan pelabur asing tidak yakin dengan keadaan ekonomi negara sekaligus menyebabkan pelabur sedia ada menarik diri dan pelabur baru tidak berminat melabur di Malaysia.

Selain itu, adalah penting untuk kerajaan menumpukan dalam memperkasakan kemahiran rakyat khusunya dalam tenaga separa mahir dan tenaga mahir. Perkara ini akan membantu negara daripada terus bergantung kepada tenaga kerja asing. Sekiranya tenaga kerja warga tempatan digunakan secara maksimum pengeluaran yang lebih berkualiti dan menyakinkan dapat dihasilkan.

Walau bagaimanapun, kemajuan ekonomi bukan sahaja bergantung kepada kemahiran, terknologi dan industri. Perkara paling asas dalam menarik para pelabur adalah integriti dan kemakmuran negara. Dua perkara asas ini adalah wajar diberikan perhatian oleh kerajaan kerana ia mampu memberikan impak yang besar dalam membantu kepesatan ekonomi negara.

Negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan berdaya saing akan digelar harimau asia

Oleh itu, kerajaan tidak boleh mengabaikan mana-mana perkara supaya segala usaha dalam memastikan Malaysia bangkit menjadi salah satu kuasa ekonomi asia. Dalam pada itu, kerajaan juga mempunyai tugas berat dalam memberi kefahaman kepada rakyat akan hal ini supaya segala usaha kerajaan mendapat kerjasama tidak berbelah bagi daripada rakyat kerana rakyat adalah kunci penting dalam membantu Malaysia bangkit menjadi Harimau Asia.

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bagi membuktikan ‘sang harimau’ mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh rakan dan lawan. Pada suatu ketika, ekonomi Malaysia berkembang pesat sehingga mampu menarik pelabur luar melabur datang ke Malaysia. Perkembangan kemajuan Malaysia dalam banyak industri juga telah membuktikan bahawa Malaysia sentiasa optimis dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here