Menteri Pendidikan Malaysia, YB Mazlee Malik telah mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) yang bakal dilancarkan bermula tahun hadapan. Menurut beliau program ini bukan sahaja mampu membantu pelajar, tetapi akan melatih kesedaran sivik dan disiplin dalam kalangan pelajar.

PSP bukan sahaja untuk pelajar dari golongan B40 tetapi semua 2.7 juta pelajar sekolah rendah akan menikmati sarapan percuma dimana pelajar sesi pagi akan mendapat sarapan dan begitu juga pelajar petang. Kerajaan akan memberi makanan berkhasiat untuk pelajar dan akan mendidik mengenai sivik dan disiplin. Ini kerana pelajar akan basuh tangan sebelum makan, kemas selepas makan dan akan makan bersama guru sekolah.

PSP akan memanfaatkan golongan pelajar dari B40 dengan sarapan percuma dari kerajaan

Selain itu, kerajaan dianggarkan akan membelanjakan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk melaksanakan program ini yang akan ditampung oleh perolehan daripada cukai minuman bergula dan hasil cukai lain. Sarapan percuma tersebut akan berpandukan menu yang sihat untuk mengajar pelajar tentang makanan seimbang dan dapat membantu pelajar tidak bersarapan pagi sebelum memulakan sesi persekolahan.

PSP  ini akan dilaksanakan selama 30 minit di antara 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi pelajar sesi pagi dan di antara pukul 12 tengahari hingga 4 petang bagi sesi petang. Dengan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), PSP ini akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

Di samping itu, program tersebut adalah langkah yang bagus dari kerajaan untuk membantu pelajar sekolah bersarapan di samping mengajar pendidikan sivik yang sangat penting untuk membentuk sahsiah diri mereka kelak. Program ini juga dapat membantu pelajar dari golongan B40 kerana ada di antara pelajar tersebut tidak bersarapan kerana keluarga hanya memberi duit makan untuk sekali sehari sahaja.

Pelajar akan diajar untuk mengambil makanan sihat untuk elakkan obesiti hasil dari makanan tidak sihat

Malah, kerajaan akan memberi makanan berkhasiat untuk pelajar-pelajar tersebut dan semestinya dapat mendidik mereka untuk mengambil makanan sihat kelak. Ini dapat mengelakkan pelajar sekolah mengambil makanan ringan atau makanan segera yang boleh memberi pelbagai penyakit serta mengelakkan obesiti ketika mereka masih muda.

Justeru, langkah kerajaan ini wajar dipuji dan akan mengikut langkah Jepun yang mendidik pelajaran sivik serta disiplin di sekolah. Ia bakal melahirkan generasi yang bermoral dan berdisiplin pada masa akan datang. Jadi program ini adalah langkah awal untuk memastikan generasi muda akan mengambil makanan berkhasiat dan dapat mengurangkan statistik obesiti di Malaysia yang mana negara ini adalah salah sebuah negara paling obes di Asia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here