Malaysia sering menjadi tumpuan para pelancong asing untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan mereka. Maka dengan itu tidak hairanlah negara Malaysia kini berada di dalam kelompok 10 negara yang menjadi destinasi pelancongan di dunia. Antara lokasi yang sering menjadi pilihan para pelancong yang melawat ke Malaysia adalah di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Kawasan segi tiga emas ini terdiri daripada kawasan sekitar KLCC, Jalan Bukit Bintang, Jalan Bukit Nenas di mana terletaknya pelbagai lokasi tumpuan para pelancong dari luar negara. Di sini adalah lokasi untuk para pelancong membeli belah barangan berjenama, bersiar-siar, menginap di hotel-hotel mewah dan mencuba pelbagai pilihan Makanan yang ada di Malaysia.

Pavilion sering menjadi lokasi tumpuan para pelancong untuk membeli belah

Walau bagaimanapun, jika diperhatikan di kawasan-kawasan tumpuan sebegini kita dapat melihat sendiri betapa ramainya warga asing yang telah menjalankan perniagaan mereka di sana. Hal ini jelas telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia oleh kerana kawasan-kawasan yang sepatutnya menjadi tempat rakyat Malaysia berniaga kini telah dimonopoli oleh warga asing.

Faktor utama yang menarik minat mereka untuk berniaga di sana adalah kerana lokasi serta kawasannya yang sangat strategik. Jika kita lihat di Jalan Imbi, Bukit Bintang, kini terdapat kawasan yang dikenali sebagai Dhaka Lane apabila kebanyakan perniagaan di sana telah dikendalikan oleh warga Bangladesh.

Selain itu, di beberapa kawasan lain pula, premis perniagaan telah dimonopoli oleh pendatang dari negara lain terutamanya dari Indonesia, India, Thailand, Mynamar, Vietnam dan Kemboja. Warga asing ini cukup berani mengendalikan perniagaan mereka secara terbuka, bahkan ada di antara mereka kini mampu menggajikan pendatang lain.

Jelas sekali ia amat menghairankan bagaimana ini semua boleh berlaku kerana kita mempunyai banyak agensi penguatkuasaaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin. Isu ini perlu dipandang serius oleh kerana warga asing pada ketika ini boleh mengendalikan perniagaan tanpa gangguan dan akan menyebabkan orang ramai mempersoalkan integriti agensi penguatkuasaan di negara ini.

Malaysia mengekalkan rekod untuk berada di dalam kelompok sepuluh negara destinasi pelancongan terbaik dunia 2018

Dalam masalah ini pihak kerajaan khususnya Imigresen serta pihak DBKL perlu memainkan peranan mereka dengan sebaiknya untuk membanteras masalah ini. Kita tidak sepatutnya bertolak ansur terhadap isu ini kerana warga asing ini secara perlahan-lahan mereka akan mengambil alih perniagaan kecil dan sederhana daripada penduduk tempatan.

Justeru itu, persoalannya di sini adalah mengapa masalah sebegini terjadi di negara kita? Adakah kerana rakyat Malaysia tidak bijak untuk merebut peluang atau peluang sebegini memang disengajakan diberi kepada warga asing? Diharapkan pihak kerajaan akan mengambil langkah yang lebih proaktif supaya dapat memberikan bantuan atau memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk menjalankan perniagaan di kawasan yang menjadi tumpuan para pelancong asing itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here