Perancangan pengenalan tulisan khat bukanlah perkara baharu namun sudah lama dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak tahun 2014 dan usaha ini telah melibatkan pakar bahasa dan pendidikan.

Namun usaha ini tetap mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) yang terdiri daripada 24 buah NGO sehingga ingin mengadakan Hari Ponteng Sekolah Kebangsaan sebagai tanda protes terhadap pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular. Bukan itu sahaja, SEKAT juga akan meyakinkan ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak ke sekolah sebagai tanda protes.

Tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak rasional dan menggambarkan bahawa masih lagi terdapat masyarakat yang bersifat mentaliti kelas ketiga. Ini kerana cadangan sebegini seolah-olah mengajar anak-anak untuk ponteng sekolah malah secara tidak langsung mengajar generasi muda untuk memberontak apabila keinginan tidak dipenuhi.

Tulisan khat merupakan aspek seni bahasa yang tidak dinilai sebagai pencapaian murid di sekolah

Lebih menjelikkan apabila tindakan ini dilihat sebagai cubaan meracun pemikiran generasi muda untuk menentang keputusan kerajaan dan menjerumuskan anak-anak ke kancah politik serta menanamkan sifat-sifat perkauman kepada generasi muda.

Akibat daripada sikap ego orang dewasa akhirnya generasi muda yang menjadi mangsa. Seharusnya golongan ini mencetuskan idea untuk kemajuan pendidikan bukannya menjadi penghalang dan membawa pendidikan semakin kebelakang.

Sebagai ibu bapa dan orang dewasa yang matang, seharusnya mereka menyokong tindakan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat ini kerana ia dapat menerapkan nilai warisan dan identiti negara.

Bukan itu sahaja, arus pemodenan hari ini sangat menuntut seseorang itu memiliki kemahiran tambahan yang boleh menjadi pemangkin untuk melangkah lebih jauh ke hadapan dan menguasai teknik tulisan khat serta jawi boleh menjadi satu kelebihan untuk individu melangkah jauh lebih ke hadapan.

Bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa di dunia yang mempunyai dua sistem tulisan iaitu rumi dan jawi

Pembelajaran tulisan jawi dan khat juga adalah salah satu cara menyampaikan mesej kepada generasi muda bahawa generasi nenek moyang terdahulu telah memperjuangkan kemerdekaan melalui surat menyurat dan sepanduk di dalam tulisan jawi.

Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tulisan jawi ini tidak wajar dijadikan modal provokasi dan disalah erti oleh kaum lain kononnya sebagai langkah licik untuk ‘memelayukan’ serta ‘mengislamkan’ kaum lain. Tulisan khat dan Jawi ini adalah satu cabang tulisan sama seperti Hiragana dan Katagana di Jepun atau tulisan Sanskrit. Jadi, ia bukanlah satu pengaruh yang boleh menarik kaum lain untuk memeluk agama Islam.

Oleh itu, provokasi ini perlu dihentikan kerana ia hanya mengundang pertikaian dan jelas menunjukkan bahawa kurangnya rasa percaya antara kaum di negara ini. Situasi yang berlaku ketika ini juga menunjukkan bahawa Malaysia masih gagal dalam proses pembentukan negara bangsa. Tindakan menghasut pelajar dan ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah ini jelas menunjukkan bahawa masih lagi ada golongan yang berfikiran jumud dan sukar menerima perubahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here