Belum reda dengan isu influenza, timbul pula wabak koronavirus yang melanda wilayah Wuhan di China dan wabak tersebut mampu merebak ke seluruh dunia. Wabak ini terus mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia apabila KKM dapat mengesan kes jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) yang pertama di negara ini.

Apa yang lebih membimbingkan rakyat Malaysia apabila kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa tiada perancangan untuk mengenakan larangan terhadap pelancong China terutama dari Wuhan memasuki Malaysia.

Memakan binatang eksotik dikatakan punca berlakunya wabak koronavirus

Kenyataan pihak kerajaan ini mengundang reaksi tidak senang rakyat dan pelbagai pihak mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan yang drastik dengan menangguhkan kemasukan pelancong China ke negara ini bagi mengekang penularan wabak koronavirus.

Kerajaan akhirnya memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari bandar Wuhan dan wilayah Huabei, berkuatkuasa serta-merta setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus.

Seharusnya sekatan ini perlu dilakukan dengan segera agar dapat mengekang penularan wabak koronavirus lebih-lebih lagi apabila masih tiada penawar yang ditemui untuk merawat wabak tersebut.

Wabak koronavirus masih lagi tiada penawar

Walaupun kajian kesihatan global meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 dalam kalangan 195 negara, dari segi kesiapsiagaan menghadapi wabak penyakit, ini tidak bermakna bahawa rakyat Malaysia telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi wabak ini.

Tidak dapat dinafikan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menangani wabak koronavirus kerana mempunyai sejarah kejayaan cemerlang mengawal penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Virus Ebola dan Virus Nipah yang pernah terjadi sebelum ini. Namun, mencegah lebih baik daripada mengubati dan disebabkan itu rakyat berharap kerajaan mengambil inisiatif yang segera dan tegas agar wabak ini tidak merebak dan mencetuskan kebimbangan rakyat.

Sekatan ini sudah pastinya sedikit sebanyak mengganggu industri pelancongan lebih-lebih lagi apabila tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia dan pelancong China merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi pelancongan. Namun, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan keamanan rakyat Malaysia perlu didahulukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here