Apabila kita berbicara mengenai penggunaan laman sosial, ia akan meliputi blog, rangkaian sosial, forum dan banyak lagi. Antara contoh media sosial yang menjadi trend pada ketika ini adalah Facebook, Twitter, Myspace, Instagram dan sebagainya. Jaringan sosial seperti ini akan memudahkan pengguna untuk mencipta laman web peribadi dan memudahkan perhubungan sesama rakan serta perkongsian maklumat di antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, hari ini media sosial seringkali telah disalah guna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Dengan wujudnya medium sebegini ianya akan memudahkan lagi kerja mereka untuk menyebarkan berita-berita yang boleh menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku di dalam negara ini.

Di antara laman media sosial yang popular di Malaysia

Sebagai contoh, kita lihat saja apa yang telah berlaku di negara jiran kita iaitu Indonesia apabila mereka mengenakan sekatan ke atas media sosial dalam usaha mencegah penyebaran berita palsu. Tindakan sekatan dibuat kerana wujudnya seruan untuk melakukan serangan keganasan berkenaan pasca pilihan raya yang baru berlangsung di negara mereka. Berdasarkan siasatan yang telah dibuat pihak berkuasa Indonesia, perbuatan penyebaran berita palsu dan seruan untuk melakukan keganasan dalam rangkaian media sosial dilaporkan meningkat sejurus pegawai pilihan raya mengesahkan kemenangan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Penyalahgunaan media sosial sebenarnya membawa ancaman kepada keselamatan negara. Oleh itu, Pihak-pihak berkuasa bersama pihak kerajaan perlu bekerjasama untuk menangani masalah ini dengan kadar segera daripada memudaratkan negara. Jika kita lihat sejak kebelakangan ini pelbagai kejadian pergaduhan serta rusuhan kaum telah berlaku kerana penyebaran berita-berita di media sosial pada ketika ini tidak di kawal dengan baik.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia juga telah mengeluarkan arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya sering memantau segala kandungan dan maklumat yang telah disebarkan dalam media sosial. Usaha ini timbul selepas isu-isu penghinaan terhadap institusi raja dan isu penghinaan nabi yang telah hangat dibicarakan sebelum ini.

Oleh yang demikian, sekiranya pihak kerajaan menganggap hal ini sebagai satu perkara yang tidak perlu di ambil perhatian, maka pasti sesuatu yang lebih buruk akan berlaku kepada negara kita nanti. Realitinya penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

Penyebaran fitnah atau berita palsu secara berleluasa akan menyebabkan keselamatan rakyat di dalam negara ini akan tergugat. Secara tidak langsung perkara-perkara sebegini akan menjejaskan ekonomi di negara ini oleh kerana para pelabur dari luar negara bimbang dengan tahap keselamatan di negara kita.

Rusuhan di Jakarta yang berpunca daripada penyebaran berita yang tidak benar

Justeru itu, kerajaan perlu fokus dan memberi perhatian serius untuk mengawal penyebaran media sosial yang bersifat sensitif. Langkah-langkah pencegahan bagi membendung penyebaran berita atau maklumat di media sosial yang cenderung kepada kesalahan undang-undang perlu dibuat secara tersusun. Tindakan ini perlu menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk mengawal penyebaran media sosial yang tidak bertanggunjawab dalam negara. Oleh itu, tidak salah bagi kerajaan untuk menyekat media sosial sebagaimana yang dilakukan oleh negara China, jikalau ianya bertujuan untuk memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here