Sekolah Kebangsaan (SK) merujuk kepada Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Menengah harian yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Walau bagaimanapun terdapat pelbagai jenis aliran sekolah yang berada di negara ini seperti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Agama, Sekolah Wawasan, Sekolah Bestari, Sekolah Berasrama Penuh dan sebagainya.

Kewujudan sekolah-sekolah vernakular di Malaysia pula berakar umbi daripada penghijrahan besar-besaran kaum Cina dan India ke Tanah Melayu yang dijajah British pada abad ke-19. Masyarakat Cina dan India membangunkan sekolah serta kurikulum mereka sendiri di bawah dasar pecah dan perintah kerajaan Britain.

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai berbilang kaum, SK merupakan satu jalan yang terbaik untuk memupuk perpaduan kaum dari peringkat awal persekolahan kanak-kanak. Sekolah seperti ini mempunyai pelajar pelbagai kaum dan mereka diajar cara memahami, menghormati budaya dan adat masing-masing.

Sekolah rendah kebangsaan adalah platform terbaik mengajar anak-anak bergaul dengan pelbagai kaum

Walaupun menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengajaran dan pembelajaran, namun pengajaran dan pembelajaran di SK tidak pernah mengenepikan bahasa-bahasa lain. Ini terbukti apabila subjek Bahasa Tamil dan Bahasa Cina juga diajar di SK.

Oleh itu, jika kerajaan berhasrat untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama rakyat, seharusnya kerajaan perlu mengambil langkah drastik memperbaiki kekurangan SK yang nampak di mata masyarakat.

Kerajaan perlu meningkatkan kualiti prasarana, memberi penekanan terhadap aspek pencapaian sukan dan kokurikulum, penguasaan teknologi maklumat (ICT) serta menitik beratkan kepimpinan pihak sekolah.

SK seharusnya diterajui oleh pengetua atau guru besar yang mempunyai kepimpinan yang berkesan. Selain itu, SK perlu mempunyai kumpulan guru yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menonjolkan sikap yang cekap serta komited terhadap tanggungjawab sebagai pendidik.

Menekankan penyatuan semua kaum menggunakan satu kurikulum kebangsaan dan meletakkan bahasa Melayu sebagai pengantar

Jika dilihat trend persekolahan masa kini termasuk ‘homeschooling’ boleh dikatakan tersasar jauh dari Dasar Pendidikan Negara yang termaktub dalam Laporan Penyata Razak yang mana tujuan dasar pelajaran hendak menyatukan anak-anak daripada semua bangsa dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar.

Justeru, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan sistem persekolahan yang berkualiti kepada rakyat demi survival sekolah kebangsaan yang semakin dipandang sepi oleh masyarakat. Hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah kerajaan sebagai pilihan terbaik untuk rakyat tidak akan berhasil jika tiada langkah drastik dan mampan daripada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here