Sekolah swasta kini makin mendapat tempat dalam kalangan ibu-bapa yang mahukan pendidikan berkualiti kepada anak-anak mereka dengan memilih menghantar anak ke sekolah swasta berbanding sekolah kerajaan. Pemilihan sekolah swasta ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu yang mahukan pendidikan berkualiti berbanding dengan sekolah kerajaan.

Konsep sekolah swasta ini menawarkan pendidikan dari peringkat pra sekolah swasta, sekolah rendah swasta hinggalah ke peringkat sekolah menengah swasta. Sekolah ini tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan tetapi perlu mematuhi Kurikulum Kebangsaan. Sekolah swasta perlu memastikan pelajar mempelajari mata pelajaran seperti Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris serta Pengajian Malaysia sebagai subjek tambahan untuk pendidikan lepas menengah mengikut daripada Akta Pendidikan 1996.

Sekolah swasta ini juga perlu didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan dan mempunyai beberapa jenis sekolah seperti sekolah rendah dan menengah swasta, sekolah rendah dan menengah agama swasta, sekolah persendirian Cina dan sekolah Antarabangsa.

Caj yuran tinggi menyebabkan ramai ibu bapa memilih sekolah Kerajaan berbanding swasta

Berbeza pula dengan konsep sekolah swasta, sekolah kerajaan ini dibina untuk pendidikan peringkat rendah dan menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Antara sekolah dikategorikan sebagai sekolah kerajaan adalah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik dan lain-lain. Sekolah ini mengikut silibus yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran dan pelajar perlu menjalani peperiksaan wajib seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kebanyakan pelajar-pelajar bersekolah di sekolah swasta datang daripada ibu bapa bekerja profesional yang mampu untuk membayar yuran tinggi yang dokenakan sekolah tersebut. Ibu bapa dari masyarakat Cina pula lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah swasta kerana mempunyai kurikulum berbeza dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Bagi ibu bapa dari masyarakat Melayu, mereka gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta Agama kerana menawarkan sistem pendidikan berkonsepkan Islam dengan silibus pelajaran agama Islam yang lebih mendalam.

Kebanyakkan sekolah-sekolah swasta ini mendapat peruntukan daripada institusi luar seperti syarikat swasta untuk menanggung penggurusan dan pembelajaran di sekolah tersebut kerana mereka tidak menerima peruntukan daripada kerajaan. Kerana itulah sekolah swasta mengenakan yuran yang tinggi kerana unsur keuntungan juga menjadi sebahagian daripada matlamat sekolah swasta. Malah, mereka juga menerima bantuan derma daripada persatuan alumni, persatuan agama dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Di samping itu, antara perbezaan sekolah swasta dan sekolah kerajaan adalah kualiti sekolah swasta sentiasa yang mempunyai infrastruktur moden dan terkini seperti bilik darjah, makmal sains, makmal komputer dan pusat sumber. Mereka juga menggunakan hak autonomi seperti kebebasan untuk melantik kakitangan, pengurusan kewangan, silibus dan dasar dalaman bagi menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar mereka. Pelajar sekolah swasta ini mempunyai pakaian sekolah berbeza dengan sekolah kerajaan dan yuran yang dikenakan juga berbeza hingga mencecah ribuan ringgit.

Sekolah swasta mempunyai fasiliti moden dan terkini berbanding sekolah Kerajaan

Walaupun sekolah swasta ini sering dianggap sebagai ‘sekolah untuk anak orang kaya’ oleh sesetengah pihak, ia tidak menghalang ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah swasta. Faktor utama mereka adalah kualiti pendidikan yang lebih baik walaupun terpaksa membayar yuran tinggi. Tetapi tidak semua sekolah swasta mengenakan caj yuran tinggi kerana sekolah swasta aliran Agama masih mempunyai caj yuran munasabah dan tidak terlalu tinggi berbanding sekolah swasta konvensional.

Justeru, terpulang kepada ibu bapa untuk menilai sekolah mana yang menjadi pilihan mereka menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pelajaran terbaik. Sistem pembelajaran kedua-dua sekolah juga telah melahirkan ramai golongan profesional seperti doktor, peguam dan lain-lain lagi. Apa yang penting adalah negara ini dapat melahirkan lebih ramai anak-anak muda berkebolehan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here