Bauksit adalah bijih utama untuk menghasilkan aluminium. Ia merupakan batuan yang terdiri dari sekumpulan mineral aluminium hidroksida seperti gibsit, bohmit atau diaspor dan mineral tambahan seperti geotit, hematit, kaolini, anatase atau rutil. Kebanyakkan bauksit digunakan dalam industri penghasilan seramik, penghasilan jentera mesin dan kenderaan terutama badan kapal terbang, industri pembungkusan khususnya pembungkusan makanan dalam tin, serta pembinaan bangunan seperti struktur bumbung dana tap. Bauksit ini mampu bertahan pada suhu rintangan dan pembakaran yang sangat tinggi. Selain itu, ia juga digunakan dalam bahan kimia untuk menyahkan kotoran berupa minyak, gas nitrogen dan sulfur.

Perlombongan bauksit telah menjadi antara sektor ekonomi negara yang giat dijalankan. Jumlah bauksit di Kuantan dianggarkan seberat 18.5 juta tan matrik bauksit dengan nilai RM2.59 bilion mampu memberi pulangan tinggi kepada pemilik tanah dalam kalangan peneroka Felda. Pulangan berkenaan diperolehi oleh pemilik tanah dalam tempoh lapan tahun mengorek bahan mineral itu.

Perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang menyebabkan sungai di sekitarnya tercemar

Bahaya pencemaran bauksit dan sisa perlombongannya adalah apabila ia dibawa air hujan masuk ke dalam sistem saliran seperti parit dan sungai. Ini akan menyebabkan air menjadi keruh sehingga mengakibatkan kematian tumbuhan dalam air dan hidupan akuatik. Selain dari itu, kandungan bauksit bersama sisa pepejal lain merupakan logam berat yang beracun serta mengandungi bahan radioaktif yang akan mencemar dan meracuni semua hidupan dalam air sehingga boleh membawa bahaya kepada manusia yang memakannya. Turut terjejas juga adalah sumber air mentah yang menjadi semakin sukar untuk diproses kepada air bersih untuk dijadikan bekalan minuman dan kegunaan harian masyarakat setempat. Tidak mustahil,air paip yang digunakan ketika ini mungkin telah mengandungi bahan pencemaran akibat dari perlombongan bauksit ini. Debu-debu akibat dari perlombongan dan pengangkutan bauksit ini mencemarkan udara dan alam sekitar. Ianya amat merbahaya dan kini mengganggu gugat kehidupan serta kesihatan penduduk. Bertambah buruk lagi apabila sistem pengangkutan bauksit ini menggunakan jalan raya yang bukan sahaja mencemarkan malah merosakkan jalan dan persekitaran.

Oleh itu, pendekatan proaktif yang boleh diambil oleh kerajaan bagi menangani pencemaran ini adalah Kerajaan Persekutuan (KeATSA) dan kerajaan negeri perlulah mewar-warkan kepada orang ramai melalui semua saluran media utama berkenaan langkah-langkah utama yang akan diambil bagi memastikan masalah ini tidak berulang kembali dan terbuka kepada kritikan dan penambahbaikan atau pengubahsuaian jika perlu. Selain itu, penubuhan satu badan pemantau bebas yang diiktiraf kerajaan bagi membantu penguatkuasaan undang-undang berkaitan bauksit atau alam sekitar. Peranan badan pemantau bebas ini umpama Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang ditubuhkan dan digazetkan di bawah Jabaran Perpaduan Dan Integriti Nasional.Keanggotaannya diperakui oleh kerajaan dan diperuntukkan bidang kuasa yang bersesuaian untuk menangani isu-isu berkaitan alam sekitar seperti melaporkan perlanggaran had operasi atau permit, memberi maklumat kepada agensi penguatkuasa serta menyertai pemeriksaan atau operasi ke atas salah laku yang dilaporkan berkaitan alam sekitar.

Aktiviti pengangkutan bauksit di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan penduduk mendakwa mengalami masalah pernafasan

Rakyat setempat menjadi mangsa utama masalah perlombongan bauksit yang giat dilaksanakan di negeri Pahang. Walaupun beberapa langkah telah dilaksanakan untuk menangani kegiatan perlombongan haram, kita perlu memastikan pihak berkuasa setempat dan juga Kerajaan Malaysia melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan masalah ini tidak berulang lagi. Rakyat perlulah lebih aktif menyuarakan masalah kepada wakil rakyat bagi memastikan pihak berkuasa tidak mengambil sifat sambil lewa dalam menjaga kesejahteraan rakyat. Selain itu, masyarakat sekitar kawasan terbabit dinasihatkan agar berhati-hati dalam menegakkan keadilan agar tiada sebarang kemalangan nyawa berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here