Penularan video di media sosial yang memaparkan beberapa orang pelajar sekolah rendah yang sedang menikmati gula-gula yang dikenali sebagai ‘Ghost Smoke’ mengundang kebimbangan ibu bapa.

Apa yang lebih dibimbangkan adalah cara pengambilan gula-gula tersebut adalah seperti menghisap dan menghembus rokok. Gula-gula tersebut dijual secara berleluasa di Papar, Sabah dan pelajar-pelajar sekolah dijadikan sebagai ‘target market’ golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Ghost Smoke dijual secara meluas dan juga dijual secara online

Berdasarkan surat daripada Pejabat Kesihatan Papar, kajian terhadap gula-gula tersebut mendapati telah melanggar peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Makanan 1983 iaitu tidak menyatakan kandungan aditif (bahan tambahan) makanan.

Segelintir netizen mendakwa bahawa gula-gula ini telah lama dipasarkan dan sebenarnya gula-gula berbentuk serbuk yang dipanggil ‘Pop Drink’. Namun, keupayaan gula-gula ini mengeluarkan asap seolah-olah mengajar kanak-kanak menghisap rokok menyebabkan produk ini perlu dihentikan penjualannya.

Walaupun belum diketahui kesan terhadap tahap kesihatan apabila memakan gula-gula ini namun seharusnya perkara ini perlu diberi perhatian yang serius. Ini kerana jika perkara ini dibiarkan berleluasa, secara tidak langsung ia mewujudkan satu budaya yang tidak sihat kepada kanak-kanak menyebabkan mereka mudah terjebak dengan penggunaan vape, merokok dan akhirnya terjerumus ke lembah najis dadah.

Kanak-kanak adalah golongan yang sangat mudah terpengaruh dan situasi seperti ini sangat membimbangkan. Manakan tidak, gejala menghisap vape juga telah menular dalam kalangan pelajar kerana mengikuti trend malah kini gejala tidak sihat dalam bentuk gula-gula pula telah menular sehingga di peringkat sekolah rendah.

Belum habis trend menghisap vape kini wujud pula ‘Ghost Smoke’ yang mempengaruhi remaja dan kanak-kanak

Kemudahan untuk mendapatkan produk-produk seperti ini akan menyebabkan lebih ramai bakal perokok atau penghisap vape yang akan wujud pada masa akan datang. Produk ini mampu memberikan impak negatif kepada kanak-kanak yang sememangnya mudah terikut dan ingin cuba benda-benda baru tanpa mengetahui kesan jangka panjang terhadap kesihatan.

Golongan ibu bapa perlulah sentiasa memantau anak-anak dan memberi penekanan terhadap apa yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah. Anak-anak juga perlu dididik dengan tabiat pemakanan yang sihat dan menjauhi makanan yang tidak berkhasiat.

Peniaga-peniaga juga perlu membantu kerajaan dengan tidak menjual produk-produk yang tidak bermanfaat terutamanya terhadap pembesaran kanak-kanak. Janganlah bersikap tamak dan mengejar keuntungan yang sedikit sehingga sanggup memudaratkan generasi akan datang.

Oleh itu, penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan menarik semula produk tersebut daripada dijual di pasaran. Walaupun belum ada kajian yang terperinci mengenai kesan buruk terhadap pengambilan gula-gula tersebut, penjualan produk ini perlu dibendung agar ia tidak menular menjadi satu budaya yang tidak sihat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here