Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh agensi penyelidikan pasaran global Ipsos pada 2018, kurang daripada separuh rakyat Malaysia iaitu 44 peratus yang menyedari dan mempunyai sedikit pengetahuan tentang privasi data dalam talian. Menurut kajian juga, terdapat tiga kumpulan yang langsung tidak mengetahui tentang privasi data dalam talian, iaitu kumpulan daripada Malaysia Timur, kumpulan yang mempunyai pendidikan lebih rendah daripada SPM dan juga kumpulan daripada pengguna yang berusia di antara 45 tahun hingga 74 tahun.

Walaupun masih ada segelintir rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran mengenai perlindungan privasi data dalam talian, namun mereka melakukan perkara yang kurang daripada sepatutnya untuk melindungi privasi data. Sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia masih lagi menggunakan kata laluan dan nombor pengenalan diri bagi semua jenis akaun yang sama.

Data peribadi boleh merangkumi nama, alamat, maklumat kesihatan, e-mel, gambar dan imej dalam rakaman litar tertutup. Bermakna setiap borang yang diisi di pasar raya, bank, pusat perkhidmatan dan hospital serta pengisian data di laman web cari kerja atau mana-mana secara dalam talian adalah pendedahan kepada data peribadi individu. Adakah ianya benar-benar dilindungi oleh pihak-pihak yang terlibat?

Penggodam yang mencuri data peribadi mengambil kesempatan untuk menjualnya di pasaran gelap

Pada November 2017, laman Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kes kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna telefon mudah alih di Malaysia. Pendedahan maklumat peribadi secara besar-besaran ini digunakan untuk dijual. Pendedahan ini membabitkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja. Kebocoran ini dipercayai berlaku semasa proses transaksi penukaran data oleh pihak yang mengambil kesempatan. Melalui maklumat yang telah dikeluarkan, PDRM telah berjaya mengenalpasti dan menjejaki tiga alamat protokol internet (IP) yang menjadi sumber kebocoran datangnya daripada Oman, Hongkong dan Belanda.

Kes yang sama berlaku pada Januari 2018, apabila Lowyat.net lagi sekali mendedahkan kebocoran 220,000 data peribadi milik penderma organ dalam talian. Segala maklumat peribadi penderma dan waris terdedah kepada umum sejak September 2017.

Kebanyakan rakyat Malaysia masih lagi tidak menyedari kewujudan Akta Perlindungan  Data Peribadi 2010 (Akta 709) atau APDP. Akta ini diwujudkan bertujuan memberi perlindungan kepada maklumat peribadi seseorang individu yang diproses untuk tujuan transaksi komersial. Semua individu dan organisasi yang memproses data peribadi dalam urusan mereka mesti mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam akta ini kecuali Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Infografik Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

Walaupun kandungan dan penggubalan akta ini telah dilakukan dengan cukup sempurna, namun terdapat beberapa faktor yang perlu dititikberatkan oleh pihak kerajaan berkenaan dengan APDP. Antaranya, akta ini tidak memperuntukkan secara spesifik hak untuk menuntut ganti rugi oleh seseorang sekiranya data peribadinya telah diproses sehingga menyalahi akta, sebaliknya mana-mana individu yang merasakan data peribadi mereka telah diproses sehingga melanggar mana-mana peruntukkan akta hanya perlu membuat aduan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Akta Peribadi.

Satu lagi aspek penting berkaitan ketirisan data yang perlu diberi perhatian adalah di agensi-agensi kerajaan. Oleh kerana akta ini hanya fokus di agensi swasta, maka ketirisan yang berlaku di agensi kerajaan seperti di hospital agak sukar untuk didakwa di bawah APDP. Sudah pasti agensi-agensi kerajaan lebih banyak ‘memegang’ data peribadi rakyat Malaysia yang tentu terdedah dengan risiko kebocoran maklumat.

Setiap daripada rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran mengenai perlindungan data peribadi. Kebocoran atau ketirisan data peribadi ini bukan sahaja akan memudahkan scammer untuk menjalankan ‘tugas’ bahkan akan memberi risiko ancaman nyawa kepada individu yang terdedah alamat, nama dan pengenalan diri. Maklumat kewangan yang terdedah juga akan menyebabkan kerugian kepada individu atau mana-mana organisasi. Walaupun bukan mudah untuk menggodam sistem keselamatan negara, namun, masalah ketirisan data ini akan memberikan maklumat awal kepada penggodam. Maka semua penggendali data perlu bertanggungjawab dengan maklumat-maklumat peribadi dan segera memperkukuhkan keselamatan data masing-masing supaya tiada ancaman untuk dijadikan sebagai ‘kambing hitam’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here