Baru-baru ini telah gempar berita dimana berlakunya kejadian lif rosak dan menyebabkan lif tersebut terhempas dari tingkat 5 ke bawah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai.

Lif yang terhempas di PPR Lembah Pantai

Dalam kejadian itu, empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki, empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki manakala seorang tidak mengalami kecederaan.

Mujur dalam kejadian di PPR Kerinchi itu, tiada nyawa yang menjadi korban, tetapi yang pasti ia adalah mimpi ngeri yang meninggalkan trauma kepada mangsa-mangsa. Maka disini telah menunjukkan bahawa pentingnya penyelenggaraan dan pemeriksaan tahap keselamatan lif dibuat secara berkala mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi, demi memastikan tahap mekanikal semua lif dalam keadaan sempurna sepanjang masa.

Hasil semakan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, didapati di sekitar Kuala Lumpur sahaja, hampir 6,000 unit lif belum memperbaharui Sijil Perakuan Kelayakan (CF). Jumlah itu adalah kira-kira 30 peratus daripada 20,000 unit lif berdaftar sekitar Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan kes terbabit, ramai pihak yang telah mempertikaikan tentang tahap keselamatan PPR ini serta kualiti penyelenggaraan yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang telah dilantik memandangkan kemudahan di perumahan itu kerap mengalami kerosakan.

Jika tahap keselamatan di PPR masih lagi tidak dapat diselesaikan, sudah pasti ia akan menimbulkan lebih banyak risiko kepada para penghuni projek perumahan tersebut. Kita perlu ambil kira tentang soal keselamatan terhadap kanak-kanak, warga emas dan sebagainya. Faktor keselamatan amatlah penting bagi sesebuah kawasan perumahan kerana ia merupakan tempat mereka menetap dan berlindung dari segala ancaman.

Antara mangsa yang terlibat dengan kemalangan lif terhempas

Justeru itu, pihak-pihak berwajib khususnya pihak DBKL perlu lebih peka dengan segala aduan atau apa sahaja cadangan yang telah diberikan oleh para penduduk. Hal ini kerana mereka tidak mahu perkara yang seringkali berlaku sebelum ini berulang kembali. Diharapkan selepas ini tiada lagi berlakunya kejadian yang berbahaya kepada penduduk PPR dan mereka mampu untuk menikmati kehidupan yang lebih terjamin dari segi keselamatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here