Pendedahan demi pendedahan kes penyeludupan dan ketirisan minyak masak bersubsidi cukup membimbangkan kita. Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan melalui tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan berkaitan pelbagai kesalahan melibatkan minyak masak sebanyak 106 kes telah dikesan dengan nilai rampasan sebanyak RM12.6 juta pada tahun ini. Menurut Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Muez Abd Aziz berkata, jumlah tersebut adalah setakat Ogos tahun ini dan ia dilihat lebih tinggi berbanding nilai rampasan sebanyak RM602,376 pada 2018. Menerusi kerjasama baik daripada pelbagai agensi penguatkuasaan sebanyak 44 kes serahan pelbagai agensi luar telah dicatatkan pada tahun 2018 dan 13 kes serahan dicatatkan pada tahun 2019. Ini membuktikan keseriusan KPDNHEP dalam menangani masalah ini.

KPDNHEP catat RM12.6 juta rampasan minyak masak.

Namun begitu, masalah ini masih terus berlaku sehingga mengakibatkan rakyat yang sepatutnya menikmati manfaat daripada subsidi yang kerajaan sediakan terpaksa gigit jari dan menanggung peningkatan kos serta harga yang tinggi. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku antaranya aspek penguatkuasaan terutamanya di kawasan sempadan membabitkan isu rasuah, salah guna kuasa dan juga pecah amanah dalam kalangan penguatkuasa. Walaupun bukan semua bersikap seperti ini namun tingkah laku segelintir pihak yang tamak, tidak jujur, mahu cepat kaya, mengkhianati rakyat dan negara ini dilihat cukup serius, bahaya serta merisaukan.

Kelonggaran penguatkuasaan punca minyak masak diseludup

Realitinya, kita mungkin atau tidak menyedari sama sekali minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia sememangnya diakui berkualiti dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan bersempadan dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Brunei. Permintaan tinggi terhadap minyak masak itu membawa kepada berlakunya aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi tersebut ke negara jiran. Tetapi, apa yang mengecewakan ialah aktiviti membawa keluar barangan tersebut didalangi oleh rakyat Malaysia sendiri yang mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan kerugian dialami kerajaan akibat aktiviti seumpama itu dan menyebabkan rakyat tempatan yang sepatutnya menikmati subsidi tersebut dinafikan hak mereka.

Sehubungan dengan itu, walaupun pelbagai usaha dan amaran telah diberikan oleh kerajaan terhadap pihak yang menjalankan kegiatan penyeludupan minyak masak ke sempadan negara, namun keadaan ini masih terus berleluasa. Terdapat beberapa kesan akibat penyeludupan minyak masak bersubsidi ini antaranya negara akan kehilangan pendapatan berbilion ringgit setahun berikutan ketirisan yang semakin tidak terkawal di sempadan negara. Jumlah pendapatan yang hilang itu adalah akibat daripada cukai tidak dikutip serta barangan-barangan yang terlepas masuk ke negara jiran melalui sempadan tanah air, terutamanya barangan berstatus kawalan dan bersubsidi.

Justeru, sehingga kini kerajaan masih gagal menangani masalah penyeludupan minyak masak merentasi sempadan ke negara jiran. Oleh itu, pihak kerajaan bekerjasama dengan Bahagian Penguatkuasaan (BPKG) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menubuhkan Pasukan Khas untuk memantau isu ketirisan minyak masak bersubsidi. Pasukan tersebut bertanggungjawab untuk memastikan masalah penyeludupan serta ketirisan subsidi dapat diatasi.

Malah, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKESM), pihak Jabatan Kastam, Imigresen, Pasukan Keselamatan serta Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi memastikan mereka dapat memantau secara berterusan dan sepenuh masa terutamanya di kawasan sempadan.

Oleh itu, semua pihak khususnya kerajaan seharusnya bekerjasama bagi membanteras masalah ini kerana ia memberi kesan buruk kepada negara. Masyarakat juga perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka mengesyaki apa-apa kegiatan di sempadan yang melanggar undang-undang.

 

 

 

 

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here