Pada awal April yang lalu, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air dan berkemungkinan menyelesaikan pertikaian ini menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Perjanjian Air 1962 di antara Malaysia dan Singapura membenarkan Singapura meraih air 250 juta gelen sehari dari sungai Johor dengan kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen. Harga 3 sen yang dikenakan bagi setiap 1,000 gelan air ini dilihat tidak munasabah dan terlalu murah jika dibandingkan dengan kadar penjualan air mentah di negara lain.

Perjanjian Air 1962 di antara Malaysia dan Singapura membenarkan Singapura meraih air 250 juta gelen sehari daripada Malaysia

Namun, kerajaan Singapura mendakwa Malaysia telah kehilangan hak untuk menyemak semula harga air kerana telah gagal melakukan semakan pada tahun 1987 sehingga 2012. Walau bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan bahawa Malaysia masih mempunyai hak untuk menyemak semula harga air berdasarkan klausa 14 Perjanjian 1962 yang menyebut semakan harga air masih boleh dilakukan setiap tahun selepas perjanjian itu ditandatangani.

Malaysia wajar menyemak semula harga air yang dijual kepada Singapura kerana perbelanjaan yang dikeluarkan untuk memastikan Singapura mendapat bekalan air menelan belanja yang sangat besar sehingga hampir RM100 juta terutamanya bagi membina baraj Sungai Johor untuk mengelakkan kemasukan air masin ke sungai itu.

Jika dilihat, pelaburan yang telah dilakukan oleh kerajaan ini langsung tidak setimpal dengan harga air yang dijual kepada negara republik itu. Malaysia seolah-olah memberi subsidi kepada Singapura dan sudah pastinya jika dikira subsidi itu telah mencecah berbilion ringgit. Seharusnya hasil itu boleh digunakan untuk membantu Malaysia dalam membangunkan kemampanan bekalan air terutamanya di Johor.

Malaysia menjual air pada harga yang paling rendah berbanding dengan negara lain

Seharusnya kerajaan Singapura juga perlu bertolak ansur dalam menyelesaikan kemelut ini dan perlu menerima hakikat bahawa kadar jualan harga air ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan ekonomi kerana harga yang dijual pada ketika ini sudah tidak munasabah.

Kerajaan Malaysia perlu tegas dan tidak mengalah dalam menuntut hak di bawah Perjanjian Air 1962 dan mencari penyelesaian yang adil untuk rakyat Malaysia. Kerajaan perlu terus memberi tekanan dengan mengaitkan isu ini sehingga Singapura mahu berunding dan menerima ketetapan baru kadar penjualan air oleh Malaysia.

 

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here