Seni mempertahankan diri merupakan cara terbaik untuk anak anda membina kecergasan, disiplin diri dan kemahiran sosial. Umur yang sesuai untuk bermula adalah sekitar tujuh tahun kerana anak anda sudah mempunyai otot dan kemahiran secukupnya untuk mengawal kesemua teknik yang akan dipelajari.

Oleh itu, adalah wajar sekiranya seni bela diri ini diberikan pendedahan awal di peringkat sekolah. Terdapat banyak pilihan yang merangkumi pelbagai seni mempertahankan diri di serata dunia. Anda mungkin ingin memilih seni mempertahankan diri tempatan dengan mencari guru silat tempatan untuk mengajar anak anda. Sebaliknya, anda mungkin ingin dia mempelajari karate atau taekwondo. Seterusnya, terdapat juga BJJ (atau Jiu-Jitsu Brazil), wushu, silambam, capoeira, aikido, judo, dan juga muay-thai.

Ilmu seni bela diri perlu dipupuk sejak kecil lagi

Pada ketika ini, tahap keselamatan diri perlulah dijaga dengan baik dan sebagai langkah yang baik kita perlu mempunyai ilmu dan kemahiran di dalam apa jua ilmu seni bela diri. Oleh kerana itu, pembelajaran ilmu seni bela diri dari peringkat sekolah akan lebih membantu seseorang itu mahir dan lebih menguasai segala kemahiran yang ada.

Sering kita dengar di dada akhbar berkenaan dengan kes pecah rumah, ragut, cubaan merogol dan ia semakin hari berada pada tahap yang membimbangkan. Seni bela diri berperanan untuk kita melindungi diri daripada ancaman-ancaman yang meletakkan diri kita dalam keadaan berbahaya.

Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa sekiranya seni bela diri ini diajar dari peringkat sekolah ia akan menyebabkan berlakunya pelbagai masalah disiplin di sekolah seperti kes buli. Namun, untuk mengelakkan masalah itu berlaku pihak sekolah dan penjaga juga perlu memainkan peranan untuk memantau perkara ini dengan baik. Sentiasa ingatkan mereka supaya ilmu yang dipelajari jangan disalah gunakan untuk menonjolkan kehebatan diri masing-masing sebaliknya ia adalah bertujuan untuk melindungi diri.

Ilmu seni bela diri juga berupaya untuk melindungi diri di saat perlu

Ilmu seni bela diri bukan sahaja menjadi fokus kepada kaum lelaki sahaja malah kaum wanita juga perlu mempunyai kesedaran untuk mempelajarinya. Justeru itu, seni bela diri atau seni pertahanan diri adalah salah satu langkah persediaan menghadapi jenayah yang tidak diundang selain sentiasa menadah tangan memohon doa kepada Allah agar melindungi kita dari sebarang musibah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here