Dunia mengalami perubahan evolusi media yang telah jauh berubah dan memberikan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan. Kesan dan pengaruh media baharu ini melangkau konteks pemikiran manusia.

Semua maklumat hanya di hujung jari. Setiap perincian gambar, berita dan video boleh dikongsikan di dalam media baharu iaitu facebook, twitter, instagram, youtube, blog, forum, whatsapp dan telegram tanpa batasan.

Perkongsian ini juga dapat melangkaui sehingga satu dunia tanpa sebarang kos atau kos yang sangat minimum. Kelebihan inilah yang membuatkan media baharu lebih mudah diterima oleh golongan muda sebagai medium menyampaikan maklumat, berbanding dengan media konvensional.

Kelebihan ini memberikan peluang kepada orang muda, aktivis dan pergerakan protes secara senyap untuk menyebarkan segala jenis maklumat hanya menggunakan internet dan telefon pintar.

Propaganda politik dalam media sosial

Pada PRU-13, pihak pembangkang (DAP, PKR) menggunakan sepenuhnya kuasa media baharu sebagai senjata untuk melancarkan perang saraf politik ke atas pihak kerajaan (BN).

Pada ketika itu, media baharu didominasi oleh parti pembangkang. Walaupun kemenangan pada PRU-13 masih lagi berpihak pada parti milik Barisan Nasional, namun undian popular parti kerajaan itu merosot sehingga 32 peratus. Pakatan Harapan terus meraih undi popular 43 peratus manakala Barisan Nasional 37 peratus.

Kemenangan undi popular pada PRU-13 walaupun tidak boleh membentuk kerajaan, namun rakyat dan pemimpin politik sudah boleh melihat kuasa media baharu. Maka pada PRU-14, kedua-dua buah parti milik pembangkang dan kerajaan bersama-sama menggunakan medium ini sebagai propaganda perang saraf politik. Tetapi kali ini, kemenangan berpihak pada Pakatan Harapan.

Pasca PRU-14, perang saraf antara BN dan PH masih lagi berlaku secara ‘senyap’ menerusi teknologi media sosial dengan memanipulasi sikap rakyat Malaysia yang gemar mencari maklumat di internet. Malaysia menduduki tangga ke-29 dari segi penggunaan internet tertinggi di dunia. Hasil kaji selidik mendapati terdapat 24,572,446 pengguna internet di Malaysia.

Perang saraf pada pasca PRU-14 kali ini telah didominasi oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Setiap perkongsian maklumat daripada beliau ditunggu hampir seluruh rakyat Malaysia. Tidak hairanlah jika beliau digelar ‘bapa troll kebangsaan’. Malahan segala ‘salah faham’ tentang maklumat kerajaan terdahulu didedahkan oleh Datuk Seri Najib Razak hanya menerusi facebook.

Tular di media sosial hari ini apabila Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan bahawa isteri VVIP tidak membeli cincin berlian merah jambu berharga RM117 juta. Walhal sebelum PRU-14, salah sebuah parti politik di Malaysia menggunakan sentimen ‘fitnah’ ini sebagai propaganda perang politik mereka untuk meraih kemenangan.

Propaganda ini dengan mudahnya disebarkan melalui media-media sosial, seterusnya mendapat perkongsian daripada rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempercayai berita tersebut.

Salah satu kenyataan yang memanipulasikan fakta dengan menggunakan media sosial

Penghujung tahun 2018, perpaduan negara hampir tergugat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin kerajaan mengenai kaum Melayu dan India. Beliau dengan mudahnya tanpa memikirkan impak terus menyebarkan kenyataan-kenayataan yang menyentuh sensitiviti perkauman.

Tidak kiralah samaada anda seorang pemimpin kerajaan, orang awam atau aktivis, jika media baharu adalah pilihan kepada medium penyebaran maklumat maka anda perlu memikirkan impak kepada setiap kenyataan yang dikeluarkan.

Penyalahgunaan media baharu boleh memberikan implikasi negatif kepada keharmonian negara. Bahkan ianya mampu menggugat ekonomi, sosiobudaya dan kehidupan sesebuah tamadun. Bukankah  mata pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here