Sejak wujudnya dunia online dan media sosial, semakin ramai yang lantang menyuarakan pendapat masing-masing di laman sosial mereka sehinggakan ada yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. Di laman sosial, sesetengah pihak berhujah seperti merekalah golongan ustaz atau ustazah, golongan professor dan sebagainya demi menegakkan pendapat mereka. Di tambah pula dengan pemansuhan akta anti-berita tidak benar menjadikan masyarakat lebih berani bersuara sehingga berani membuat teguran terbuka kepada pemimpin negara.

Segelintir masyarakat kita yang terlalu taksub untuk mengeluarkan pendapat mereka tanpa mereka sedari bahawa kenyataan mereka itu mampu menggugat keamanan negara kerana telah menyentuh perkara-perkara yang sensitif seperti bab agama dan perkauman. Isu agama merupakan isu yang sangat sensitif, justeru ia perlu dipantau dengan ketat bagi mengelakkan berlakunya konflik perkauman sehingga memecahbelahkan benteng integrasi kaum yang telah terbina sekian lama di negara kita ini.

Media sosial menjadi medan untuk segelintir masyarakat bebas mengutarakan pandangan mereka

Mungkin segelintir masyarakat beranggapan bahawa sikap mengambil tahu akan agama dan sensitiviti sesebuah kaum dilihat satu perkara yang remeh dan tidak penting. Namun, keprihatinan terhadap sensitiviti kaum yang wujud di Malaysia ini mampu memberikan impak jangka panjang yang positif dalam mengurangkan syak wasangka antara satu sama lain. Sudah tentulah peristiwa seperti 13 Mei dan peristiwa rusuhan di kuil yang menjadi titik sejarah hitam di negara kita tidak mahu berulang lagi.

Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang agama dan budaya yang hidup aman damai sehingga keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa. Oleh itu kepelbagaian ini merupakan satu keunikan yang sepatutnya dirai, dihargai dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Oleh itu, demi memelihara keamanan yang telah dikecapi selama ini, kerajaan perlu memantau aktiviti di media sosial terutamanya kerana pada era teknologi ini, medan media sosial merupakan satu platform untuk golongan oportunis mencetuskan huru hara di dalam negara.

Medan teknologi dan komunikasi maklumat dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk memberi pandangan dan pendapat peribadi mengenai agama, politik dan sosial

Selain itu juga, untuk mengelakkan teguran secara terbuka, pihak yang terlibat boleh mengadakan satu sesi dialog bersama-sama golongan masyarakat agar ruang tersebut dapat digunakan untuk berkongsi pandangan dan permasalahan dua hala agar dapat mencari penyelesaian yang terbaik. Aktiviti ini dapat memberi ruang kepada dialog yang sihat supaya dapat mengurangkan prasangka dan semangat perpaduan dapat dipupuk.

Justeru, pendedahan kepada masyarakat mengenai sekatan dan had terhadap hak untuk bersuara, bercakap, menulis atau mengekspresikan pandangan masing-masing di media sosial serta akibat daripada penyalahgunaan kebebasan tersebut amatlah penting. Hal ini kerana, ia dapat mengelakkan masyarakat daripada terus bebas mengutarakan pandangan mengenai agama, politik dan sosial sehingga boleh tercetusnya konflik yang mengganggu gugat keamanan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here