Kerajaan sudah mula mengagihkan pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama pada 28 Januari lepas. Walaupun BSH ini adalah ‘rebranding’ daripada jenama BR1M, namun ada beberapa penambahbaikkan yang agak ‘menyusahkan’ rakyat. ‘Menyusahkan’ dari segi penyediaan dokumen serta jangka masa selama tujuh hari untuk mencari dan menghantar permohonan ke pejabat LHDN selepas pendaftaran online. Satu tempoh yang agak singkat jika dibandingkan dengan tempoh yang diberikan kepada pemohon BR1M dahulu. Kesian kepada penduduk kampung yang tinggal jauh di pendalaman dan tiada kenderaan.

Perbandingan dokumen yang diperlukan untuk permohonan BR1M dan BSH. Bagi pemohon BR1M mereka perlu melampirkan salinan kad pengenalan, sijil perceraian atau kematian dan pengesahan penamatan atau pembubaran perniagaan bagi pemohon yang mendaftar perniagaan dengan SSM. Manakala bagi pemohon BSH, dokumen yang perlu dilampirkan masih sama dengan permohonan BR1M, namun ada penambahan lampiran bagi salinan sijil perkahwinan pemohon dan slip gaji.

Salinan dokumen yang diperlukan untuk memohon BSH

Umum mengetahui bahawa permohonan BSH bukan sahaja untuk golongan muda atau pertengahan, bahkan golongan tua juga adalah antara yang beratur untuk memohon. Bayangkan bagaimana ‘atok nenek’ kita yang sudah bercucu dan bercicit ini mahu mencari sijil perkahwinan yang sudah tentu dimakan anai-anai atau sudah lama hilang akibat terendam dalam banjir. Bagi penduduk kampung yang rata-rata bekerja sendiri sudah pasti agak sukar untuk melengkapkan lampiran bagi slip gaji.

Kesulitan untuk memohon BSH dipertikai oleh rakyat kerana segelintir daripada mereka mempersoalkan adakah kerajaan ‘ikhlas’ membantu golongan marhean ini? Jika ikhlas mengapa disulitkan perkara yang mudah. Jika tidak tahu, mengapa tidak menggunakan sahaja segala dokumen yang diperlukan semasa permohonan BR1M. Mungkin kerajaan mahu melakukan tapisan yang ketat untuk pemohon BSH, oleh itu sistem LHDN mungkin perlu diselaraskan dengan jabatan-jabatan yang terlibat. Maka, semakan pemohon boleh dilakukan di dalam sistem sahaja.

Di dalam media sosial Twitter, Syeikh Amri Albaluni menyatakan bahawa memang ada sedikit kesulitan untuk mengemaskini borang dalam talian. Bila sistem di dalam talian tidak cekap, pemohon terpaksa bersesak-sesak pula ke pejabat LHDN untuk mengemaskini permohonan. Seorang lagi netizen, Khairulnizam menyatakan perbandingan bahawa permohonan BR1M lebih mudah diuruskan berbanding dengn BSH. Suzainie di dalam laman Twitter miliknya ada menulis jika nombor telefon lama yang ada di dalam data BR1M sudah tidak digunakan, pemohon perlu ke pejabat LHDN untuk mengemaskini nombor telefon terkini supaya nombor ‘TAC’ bagi permohonan BSH dapat dihantar.

Netizen mengkritik tindakan kerajaan yang menyulitkan prosedur permohonan BSH

Bagi memudahkan setiap urusan permohonan terutamanya yang melibatkan golongan warga emas dan penduduk kampung yang tinggal jauh di pendalaman, kerajaan perlu menyediakan wakil bagi setiap kawasan ini. Wakil ini yang akan bertindak dalam membantu golongan ini untuk menghantar borang permohonan ke pejabat LHDN atau mengemaskini secara dalam talian.

Prosedur permohonan untuk melampirkan sijil perkahwinan dan slip gaji perlu dikaji semula.  Pihak LHDN boleh menyemak semua maklumat itu di dalam sistem jika diselaraskan dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Proses ini tidak perlu disulitkan dengan prosedur yang banyak, kerana kerajaan pasti tahu siapakah golongan-golongan yang akan memohon BSH. Maka, permudahkan setiap urusan mereka agar rakyat tidak mempertikaikan ‘keikhlasan’ kerajaan. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat seharusnya bertanggungjawab juga membela nasib rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here