Selepas 56 tahun industri penyiaran negara beroperasi secara analog, kini rakyat akan mula merasai kemajuan dalam bidang penyiaran apabila kerajaan mula mengumumkan peralihan siaran televisyen analog kepada siaran digital My Freeview pada 30 September 2019.

Pada Mei 2019, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mula mengumumkan untuk menamatkan siaran analog secara berperingkat di wilayah-wilayah tertentu bermula Julai hingga Ogos 2019. Langkawi merupakan daerah pertama yang menerima siaran TV digital pada 21 Julai 2019.

Kejayaan siaran rintis di Langkawi ini mendorong pihak kerajaan untuk memperluaskan lagi siaran ke seluruh negara. Mengikut perancangan, peralihan rintis seterusnya akan dibuat di kawasan Tengah dan Selatan pada 19 Ogos diikuti Utara pada 2 September dan Timur, 17 September. Manakala bagi penduduk Sabah dan Sarawak mereka bakal menikmati siaran TV digital sepenuhnya pada 30 September ini.

Gobind bersama penerima dekoder pada  Majlis pengumuman Peralihan Siaran TV Digital

Menurut Ketua  Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Gerard Lim, negara sudah bersedia untuk membuat peralihan siaran analog ke digital. Maka rakyat Malaysia diminta untuk segera bertukar kepada siaran digital.

Ada dua kaedah yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia iaitu dengan memasang dekoder DVB-T2 dan aerial UHF atau sistem Televisyen Digital Bersepadu (IDTV) yang sudah dilengkapi di televisyen masing-masing.

My Freeview merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan siaran digital percuma. Maka rakyat Malaysia berpeluang untuk mendapatkan dekoder atau aerial di syarikat berkenaan. Walaupun ianya menyediakan perkhidmatan percuma, namun pengguna perlu membayar sekali sahaja bagi membeli DVB-T2 atau IDTV dan membayar yuran pemasangan.

My Freeview menawarkan siaran TV digital secara percuma

Siaran TV analog mula ditawarkan secara percuma kepada rakyat Malaysia oleh RTM sejak 1963 dan TV3 sejak 1984 dengan menggunakan teknologi lama. Siaran TV digital mempunyai banyak perbezaan berbanding dengan siaran TV analog.

Kualiti gambar HD ditawarkan melalui siaran TV digital berbanding dengan siaran TV analog yang menawarkan gambar yang banyak mempunyai ‘noise’. Pada masa yang sama penonton juga mempunyai akses perkhidmatan televisyen interaktif seperti membeli, menonton video atas permintaan, perkhidmatan langganan dan internet terpilih. Berbanding dengan siaran TV analog, penonton tidak mempunyai banyak pilihan, melainkan saluran percuma yang terhad.

Malaysia merupakan negara Asean ketiga selepas Singapura dan Brunei yang mengambil langkah menutup siaran analog dan beralih kepada TV digital sepenuhnya. Perubahan ini memberikan nafas baharu dalam industri penyiaran negara agar rakyat Malaysia mempunyai pelbagai pilihan untuk menonton.

Selaras dengan kedatangan tahun 2020 yang bakal menginjak beberapa bulan lagi, rakyat Malaysia perlu menyambut baik usaha pihak kerajaan dalam memajukan industri penyiaran negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here