Dunia Barat sering melabelkan Islam sebagai pengganas. Fobia dan bimbang dengan ancaman Islam merupakan salah satu istilah Islamofobia. Secara umumnya ia ditakrifkan sebagai permusuhan tidak berasas terhadap Islam dan kewujudan perasaan ketakutan atau kebencian terhadap semua atau sebahagian besar umat Islam. Fenomena ini telah mewujudkan satu diskriminasi di antara individu atau kumpulan yang menyebabkan mereka yang beragama Islam tersisih daripada kehidupan sosial, ekonomi atau politik.

Islamofobia telah wujud sejak akhir 1980-an dan awal tahun 1990-an, namun istilah ini semakin popular selepas insiden 11 September 2001. Sejak daripada itu, beberapa insiden keganasan yang berlaku didunia akan dibabitkan dengan umat Islam, walaupun pada hakikatnya penganut agama lain juga ada melakukannya. Peristiwa pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 yang melibatkan 191 nyawa yang dilakukan pengganas yang disyaki Muslim telah memburukkan lagi imej Islam.

Insiden 11 September telah mencemarkan imej Islam

Pemicu utama peningkatan Islamofobia ialah kumpulan radikal atau pengganas yang mempunyai minda jauh menyeleweng daripada pati Islam sebenar. Mereka telah menyebarkan suatu fahaman yang menyatakan Islam itu keganasan lalu menimbulkan perasaan takut dan bimbang kepada dunia.

Sikap dunia Barat yang terlalu memusuhi Islam juga telah menyebabkan mereka dengan ‘berani’nya menyebarkan propaganda yang negatif. Pope Benedict XVI pernah menyatakan bahawa Nabi Muhammad (SAW) menyebarkan Islam melalui jalan kekerasan. Paderi ini telah menyampaikan suatu sentimen yang negatif dan fitnah mengenai Islam. Mengapa Barat memusuhi Islam? Perbezaan nilai-nilai dan budaya di antara Islam dan Barat merupakan antara salah satu faktor wujudnya ‘kebencian’. Bagi negara Barat, pemakaian hijab melambangkan penolakan terhadap kebebasan. Di sana, Islamofobia sering menggunakan istilah ‘hijab versus bikini’ untuk melambang bahawa Islam itu menghalang kebebasan.

Persepsi masyarakat Malaysia dahulu apabila dengar sahaja istilah Islamofobia, pasti hanya membayangkan dunia Barat yang begitu membenci Islam. Namun, kini fenomena ini telah menular di Malaysia. Walaupun puncanya mungkin berlainan, namun simptomnya tetap sama. Golongan yang Islamofobia di Malaysia ini cukup ‘pantang’ mendengar istilah hudud, qisas, syariah dan perkataan-perkataan lain yang berbunyi arab. Salah satu NGO yang cukup fobia dengan Islam ialah Sisters in Islam (SIS). Walaupun pada pangkal nama organisasi itu sahaja seperti mahu memperjuangkan Islam, namun mereka membawa sentimen yang berbeza.

Salah satu fenomena Islamofobia di Malaysia

Antara perkara yang diperjuangkan oleh SIS dan melibatkan Islam ialah ‘khatan bayi perempuan’. Di dalam Islam, mengikut mazhab al-Syafie berkhatan untuk bayi perempuan adalah wajib, tetapi golongan ini menyatakan bahawa ianya adalah salah satu bentuk diskriminasi dan penderaan fizikal yang akan mencacatkan anggota bayi itu. Selain itu, SIS juga menyatakan bahawa wujudnya diskriminasi wanita Malaysia kerana adanya undang-undang keluarga Islam. Jika berhijab itu dikatakan sebagai diskriminasi, mereka sepatutnya mengkaji Al-Quran.

Sebagai umat Islam, kita wajar menyebarkan fahaman agama Islam yang sebenar. Islam adalah agama yang meraikan kemajmukan, serta bukan agama yang ekstrem dan mengizinkan hak pencabulan bukan Muslim. Malaysia sendiri tidak menghalang mana-mana agama untuk diamalkan secara aman dan damai. Ini termaktub di dalam Perkara 3(1), yang mempertegaskan kedaulatan Islam sebagai agama Negara, manakala agama-agama lain masih boleh diamalkan. Persepsi Islamofobia seharusnya diubah. Umat Islam bertanggungjawab untuk mengubahnya dengan menunjukkan contoh dan elemen yang baik kepada dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here