Lambakan pekerja asing di Malaysia bukan lagi perkara baharu. Jika kita berjalan ke mana sahaja, terutamanya di sekitar Kuala Lumpur pasti hampir setiap minit akan ‘berlanggar bahu’ dengan golongan ini terutamanya dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Vietnam.

Bukan suatu perkara yang mengejutkan jika ada yang menyatakan Malaysia tempat berkumpulnya warga-warga asing. Mana tidaknya, menurut Kementerian Sumber Manusia dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah ‘imigran haram’.

Kebanyakan daripada mereka datang ke Malaysia adalah untuk mencari peluang pekerjaan. Rata-ratanya sanggup melakukan apa sahaja kerja, asalkan mendatangkan wang untuk menampung kehidupan di kampung. Oleh itu tidak hairan jika mereka sanggup memilih sektor jenis 3D (Dirty, Difficult & Dangerous) yang tidak popular di kalangan rakyat Malaysia.

Namun sedarkah rakyat Malaysia, bahawa sikap memilih sektor pekerjaan ini mengundang kepada lambakan pekerja asing, terutamanya di dalam sektor yang kurang mendapat tempat di kalangan warganegara seperti sektor 3D. Kekosongan bagi sektor ini perlu dipenuhi. Maka majikan tiada pilihan, melainkan mengupah bukan warganegara untuk bekerja dengan mereka.

Pekerja sektor 3D wajar mendapat gaji yang setimpal

Isu ini turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bimbang dengan kebanjiran imigran ini. Beliau menjelaskan isu ini semakin serius jika rakyat Malaysia masih lagi meneruskan sikap yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun mereka sebenarnya mampu melakukannya sendiri.

Daripada suatu sudut yang negatif, isu ini sebenarnya memberikan impak yang agak besar kepada negara. Lambakan pekerja asing mampu mengubah demografi sesebuah negeri. Beberapa kawasan di Selangor seperti daerah Hulu Langat dan Gombak telah bertukar menjadi perkampungan pendatang Indonesia.

Deretan rumah milik penduduk warga asing di Kampung Boyan

Masalah jenayah yang melibatkan warga asing juga semakin kritikal. Pada 2019, lima warga Myanmar ditahan di Pulau Pinang oleh polis bagi kes bunuh. Tahun yang sama namun pada lokasi yang berlainan apabila dua warga asing ditahan untuk siasatan kes bunuh di Kuala Lumpur.

Agak tidak adil jika kerajaan menyalahkan sikap rakyat yang terlalu ‘meanaktirikan’ sektor 3D sehingga memberi peluang kepada pekerja asing. Sektor yang ‘dianaktirikan’ itu yang rata-ratanya menawarkan gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu RM1,100. Sudah pasti jika mengambil kira risiko pekerjaan, kadar gaji yang ditawarkan adalah tidak setimpal dengan tenaga yang disumbangkan.

Kini kerajaan bercadang untuk melaksanakan dasar bekerja pada waktu malam terutamanya melibatkan sektor 3D. Langkah itu bagi menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi sektor tidak popular itu.

Cadangan yang diperkenalkan oleh kerajaan tiada salahnya jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan, namun pastinya rakyat mengharapkan imbuhan yang berbaloi dengan masa mereka apabila bekerja pada waktu malam. Mungkin kerajaan boleh menetapkan gaji yang minimum bagi pekerja sektor 3D yang bekerja pada waktu siang atau malam.

Negara maju seperti Jepun sendiri meletakkan gaji yang mahal kepada pekerja kebersihan mereka. Golongan ini tidak digelar ‘acik cleaner’ atau ‘tukang cuci tandas’ bahkan mereka digelar sebagai ‘ jurutera kebersihan’.

Saranan Tun Dr Mahathir yang tidak mahu rakyat bergantung pada wang percuma (BSH) sehingga menyarankan rakyat menceburi sektor 3D ada benarnya. Janganlah bandingkan pekerja asing dengan pekerja tempatan berkenaan gaji atau cuti rehat.

Sudah pasti pekerja tempatan memerlukan wang yang lebih untuk membayar segala jenis cukai dan komitmen lain berbanding pekerja asing. Maka tolonglah rakyat. Rakyat sudah memberikan apa yang ‘anda’ mahu, maka berilah pula kepada rakyat apa yang ‘kami’ mahu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here