Keputusan Sultan Muhammad V untuk meletak jawatan sebagai Yang Di-pertuan Agong (YDA) ke-15 pada 6 Januari lalu nyata mengundang kejutan di kalangan rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Kelantan. Ini kerana baginda masih lagi mempunyai baki 3 tahun pemerintahan sebelum berakhir pada tahun 2021. Hal tersebut ternyata mengundang seribu satu persoalan di benak fikiran rakyat negara ini yang ingin tahu sebab peletakkan jawatan baginda sebagai YDA.

Pengumuman peletakan jawatan tersebut telah dibuat oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan. Baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja. Dalam amanat yang dikeluarkan, baginda juga menyatakan bahawa baginda telah berusaha untuk bertanggungjawab dan amanah sepanjang baginda menjawat jawatan sebagai Ketua Negara.

Di samping itu, baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih baginda sebagai YDA yang ke-15 serta Perdana Menteri dan kerajaan yang telah memberikan kerjasama dalam mentadbir negara semasa pemerintahan baginda.

Sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad V sebagai YDA, banyak sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan baginda kepada rakyat di negara ini. Antaranya adalah sumbangan tenaga baginda ketika bencana banjir besar berlaku di negeri Kelantan. Kehadiran baginda tanpa protokol yang ketat ada kalanya tidak disedari oleh rakyat bahawa yang membantu mereka itu adalah seorang raja ternyata menyentuh hati rakyat.

Sultan Muhammad V terkenal sebagai sultan yang dekat di hati rakyat

Selain itu, Seri Paduka Baginda adalah seorang ketua berjiwa rakyat, baginda turut membantu orang miskin, asnaf dan sebagainya tanpa segan silu atau meletakkan batas sebagai seorang raja. Baginda juga amat menitikberatkan aspek keagamaan di kalangan rakyatnya yang beragama Islam apabila menganjurkan program “Qiam With Me” yang diadakan pada setiap Ramadan sejak tahun 2011.  Program yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda. Bukan itu sahaja, baginda juga turut memperkenankan rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberikan pembebasan serta-merta.

Dalam hal ini, isu perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai YDA seharusnya tidak wajar untuk dijadikan sebagai suatu isu polemik yang besar. Ini kerana baginda mungkin telah mengambil kira semua aspek dari pelbagai sudut sebelum membuat keputusan untuk meletakkan jawatan baginda. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia disarankan supaya menghormati dan menerima sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh Sultan Muhammad V dengan tidak menyalahtafsirkan tindakan yang dibuat oleh baginda.

Baginda sentiasa menitikberatkan aspek keagamaan di kalangan rakyatnya

Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam perlembagaan, kita seharusnya menghormati dan menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh pemerintah tertinggi negara ini tanpa menimbulkan sebarang spekulasi yang tidak diketahui kesahihannya. Rakyat Malaysia juga disarankan untuk menunjukkan sokongan penuh terhadap bekas YDA dan juga kepada bakal YDA yang bakal dilantik. Hal ini kerana walau siapapun dari kalangan Duli-duli Yang Maha Mulia yang akan dilantik oleh Majlis Raja-raja, rakyat wajib menunjukkan ketaatan yang setia terhadap bakal YDA ke-16 kerana ia selaras dengan perkara kedua di dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here