Sistem dua parti bukanlah perkara baru dalam pentas politik negara kerana usaha untuk mewujudkan dua parti dominan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tanpa  ikatan dengan parti-parti komponen yang lain telah lama dibincangkan sejak PRU8 pada tahun 1990. Tetapi sistem ini jarang dilakukan kerana kebanyakkan parti politik di negara ini dipengaruhi dengan faktor seperti perkauman, agama dan agenda masing-masing.

Pada PRU13 lalu, sistem ini seperti sudah wujud apabila dua gabungan besar kuasa besar politik iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat bertembung untuk menawan Putrajaya. Tetapi gabungan ini masih terdiri daripada komponen-komponen parti politik yang mempunyai ideologi dan kepentingan tersendiri dan tidak ada satu parti pun yang berani berkata bahawa ia boleh menubuhkan kerajaan tanpa ikatan dengan parti-parti komponen yang lain.

Negara luar seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, German dan lain-lain sudah lama mengamalkan sistem dua parti ini dan rakyat hanya perlu memilih diantara dua parti yang bertanding sahaja. Kedua-kedua parti politik yang bertanding mempunyai peluang seimbang untuk memenangi pilihanraya dan tidak ada satu parti dominan yang boleh memenangi undi secara majoriti.

Sistem 2 parti ini sudah lama dilaksanakan di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah

Di samping itu, sistem dua parti dapat membawa kebaikan kepada rakyat kerana ianya akan mewujudkan ‘checks and balances’ di dalam pentadbiran kerajaan. Kebiasaannya parti yang memenangi pilihanraya hanya akan menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Parti yang kalah pula dapat bertindak sebagai pembangkang yang kuat bagi mengawal kerajaan agar telus di dalam pentadbiran serta tidak boleh meminda perlembagaan negara dengan sesuka hati tanpa memperolehi persetujuan dari parti pembangkang.

Tetapi sistem ini boleh memberi cabaran kepada pemerintahan kerajaan Persekutuan kerana jika parti-parti bertanding ini bergilir untuk memerintah, mereka sudah pasti akan membawa agenda mereka sendiri dan tidak akan meneruskan pembangunan yang dirancang kerajaan terdahulu. Jadi rakyat akan terbeban kerana terperangkap dalam permainan politik parti-parti ini.

Tidak mustahil jika arena politik negara bakal menyaksikan 2 parti sahaja bertembung dalam PRU

Jika dilihat pada sistem dua parti ini, ianya tidak mustahil untuk dilaksanakan jika PAS atau parti-parti kecil akan menyertai gabungan antara BN atau Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan berlakunya pertandingan satu lawan satu di antara parti pemerintah dan pembangkang. PRU14 lalu menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara BN, PH dan PAS yang berbeza dengan PRU13 lalu kerana BN hanya menentang Pakatan Rakyat sahaja.

Justeru, sistem dua parti ini boleh memberi keseimbangan di antara kerajaan dan pembangkang kerana ia dapat mengurangkan amalan berpolitik sepanjang masa yang boleh menyebabkan kerajaan hilang tumpuan untuk menjaga kebajikan rakyat. Sistem dua parti boleh menjadi amalan politik terbaik dalam sistem demokrasi negara disebabkan persaingan untuk menubuhkan kerajaan menjadikan parti politik berusaha memperkenal dasar terbaik untuk pengundi dan bukan sekadar janji kosong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here