Segulung ijazah kini bukan lagi lesen besar untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan. Manakan tidak, mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama 2019, negara mencatatkan seramai 516,600 penganggur terdiri daripada siswazah yang mempunyai kelulusan diploma dan ijazah.

Lebih malang lagi apabila dalam kalangan siswazah menganggur tersebut adalah golongan siswazah yang tergolong dalam kelompok B40 dan keluarga miskin.

Peluang untuk melanjutkan pelajaran di menara gading suatu masa dulu yang dilihat adalah peluang emas yang mampu mengubah kehidupan keluarga namun tidak relevan lagi buat masa kini.

Apakah yang menjadi punca golongan siswazah B40 ini sukar menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan masa kini?

Salah satu faktor utama yang menjadi punca siswazah B40 menganggur adalah kerana tawaran gaji yang rendah dan kos sara hidup tinggi di bandaraya.

Ini menyebabkan siswazah golongan B40 dan miskin enggan berhijrah ke bandaraya dan memilih untuk bekerja di negeri kelahiran masing-masing walaupun terpaksa menceburi pekerjaan yang berbeza dengan kelayakan serta gaji yang rendah.

Lebih 500,000 penganggur di seluruh negara terdiri daripada siswazah yang berkelulusan diploma dan ijazah.

Apa gunanya mereka bekerja di bandaraya dengan gaji yang rendah dan gagal untuk membantu keluarga bahkan ibu bapa pula terpaksa membantu mereka.

Selain itu juga, faktor kurang keyakinan diri dan masalah komunikasi juga menjadi punca utama golongan ini masih menjadi penganggur. Hal ini kerana, majikan masa kini lebih mementingkan calon yang berkebolehan dalam menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan dan mahir berkomunikasi.

Bukanlah ingin memperkecilkan golongan siswazah B40 ini namun sesetengahnya tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan yang tahu pula seakan-akan segan dan tidak yakin dengan kebolehan bertutur tersebut menyebabkan potensi golongan ini tidak dapat dilihat oleh bakal majikan.

Tambahan lagi, peluang pekerjaan bagi siswazah semakin mencabar apabila mereka terpaksa bersaing dengan kira-kira 300,000 pelajar setiap tahun sedangkan setiap 100 peluang pekerjaan yang ditawarkan, 89 peratus untuk pekerja bawahan, tujuh peratus untuk tenaga mahir dan separuh mahir, manakala baki empat peratus untuk bahagian pengurusan.

seramai 174,327 daripada 238,286 pencari kerja aktif adalah golongan siswazah

Tanpa pekerjaan atau pendapatan yang setimpal, sukar buat graduan B40 dan miskin ini membantu keluarga masing-masing keluar daripada belenggu kemiskinan.

Selain sukar meringankan beban keluarga masing-masing, mereka turut berdepan kesulitan membayar balik pinjaman pendidikan yang diterima sepenuhnya sepanjang tempoh pengajian, sama ada peringkat diploma atau ijazah.

Akhirnya, badan peminjam juga berhadapan dengan masalah memberi pinjaman kepada golongan yang memerlukan pada masa hadapan.

Setiap kali isu siswazah menganggur dibangkitkan, pelbagai sentimen dan polemik akan diputar belitkan seterusnya mengalihkan tumpuan dari mencari jalan penyelesaian terbaik bagi isu ini. Jelasnya, masalah graduan menganggur ini masalah ekonomi dan mencerminkan bahawa kerajaan masih gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk siswazah.

Isu ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama kerajaan, swasta dan IPT. Dalam usaha membantu siswazah menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan, IPT perlu menawarkan kursus yang relevan dengan pasaran pekerjaan dan pengambilan pelajar yang terhad agar tiada lambakan graduan. Majikan di setiap sektor terutamanya sektor awam pula perlu memastikan bahawa pekerja dipilih berdasarkan kelayakan dan bukan atas dasar ‘kabel’ dan ‘kroni’.

Justeru, isu pengangguran ini perlu ditangani dengan segera terutamanya bagi golongan B40 ini agar dapat membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Kerajaan seharusnya berusaha lebih keras dalam menunaikan janji menyediakan sejuta peluang pekerjaan seperti dalam manifesto pada pilihan raya yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here