Hampir seminggu rakyat Malaysia dikejutkan dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan skim lantikan tetap dan berpencen kepada kakitangan kerajaan dan digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik. Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah dan antara alasan yang diberikan adalah tanggungan kerajaan ke atas pesara kerajaan semakin hari semakin meningkat saban tahun dengan jumlah tanggungan kini mencecah RM28 bilion.

Untuk info, kerajaan kini memperuntukkan sebanyak RM30 bilion untuk golongan pesara kerajaan yang ketika ini mencecah lebih 775,000 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat kepada 1.5 juta orang menjelang tahun 2050, seiring dengan trend peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia daripada 75 tahun kepada 85 tahun dalam tempoh tersebut.

Nasib penjawat awam perlu dipelihara dengan sewajarnya

Berita ini sememangnya mengejutkan ramai pihak, ada yang beranggapan bahawa langkah ini akan memberikan tamparan hebat terhadap kos sara hidup para pesara di negara ini. Tidak kurang juga bagi sesetengah pihak yang beranggapan pemansuhan skim pencen ini adalah perbuatan khianat kepada kakitangan awam. Hal ini kerana bagi mereka golongan pesara juga merupakan ‘tulang belakang’ kepada kemajuan negara.

Selain itu, bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata skim berpencen ini tidak boleh dimansuhkan kerana ia sudah termaktub di bawah Perkara 147, Perlembagaan Persekutuan. Ujarnya lagi, skim ini dilindungi oleh Perlembagaan dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kerajaan mahu memansuhkan skim tersebut, maka kerajaan haruslah mengubah perkara Perlembagaan Persekutuan dan ini sememangnya satu langkah yang mustahil.

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya mengambil pendekatan yang proaktif dalam menangani isu skim berpencen. Hal ini kerana golongan pesara juga memerlukan bantuan daripada kerajaan dalam meneruskan kehidupan mereka. Memang benar isu ini sedikit sebanyak akan membebankan kerajaan selaku pemerintah pusat dalam mengeluarkan peruntukan kepada golongan pesara dalam pembayaran skim pencen.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah berikut mungkin dirasakan agak sesuai untuk diamalkan dalam usaha untuk meringankan beban kewangan negara tetapi dalam masa yang sama turut mengekalkan skim sedia ada. Antara langkah tersebut adalah dengan menawarkan pekerjaan kepada golongan pesara mengikut kepakaran dan masa lapang mereka. Sebagai contoh, pensyarah separuh masa. Di Malaysia, kita mempunyai ramai tenaga profesional, jadi tidak salah sekiranya mereka ditawarkan jawatan tersebut ataupun penjawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka bagi membantu merancakkan ekonomi negara dan menghasilkan punca pendapatan sampingan kepada pesara.

Golongan pesara harus diberi peluang untuk menjalankan industri kecil bagi menghasilkan punca pendapatan sampingan selepas bersara

Di samping itu, bagi membantu meringkankan beban kewangan kerajaan dalam skim berpencen ini, mungkin kerajaan boleh menjadikan skim ini sebagai satu geran bersyarat bagi golongan pesara untuk mengusahakan satu industri secara kecil-kecilan atau secara komersil. Geran pencen tersebut harus diusahakan oleh pesara dalam apa jua cara sekalipun dan hasil daripada industri golongan pesara ini harus dikomersilkan oleh kementerian-kementerian yang terlibat bagi membolehkan wang persaraan dibayar untuk menampung kehidupan mereka.

Justeru, kajian lebih menyeluruh terhadap permansuhan skim berpencen ini perlu dilaksanakan dengan lebih teliti dalam memberi keadilan kepada semua pihak khususnya golongan pesara. Hal ini kerana golongan tersebut merupakan antara individu yang menyumbang kepada kadar peningkatan ekonomi dan kemajuan negara ini menerusi kepakaran mereka.

Sekiranya golongan ini dinafikan hak mereka, maka kerajaan mungkin akan mengalami satu kerugian besar akibat ‘tenggelam’ dek kerana peranan golongan muda masa kini yang masih ‘mentah’ dalam ilmu profesion/kerjaya berbanding golongan pesara yang sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu ekonomi Malaysia tumbuh segar selaras dengan status negara maju yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here