Baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan bantuan perlindungan insurans bagi golongan pendapatan rendah (B40) yang dikenali sebagai Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam). Bantuan ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion sebagai dana permulaan dan dijangka dapat menawarkan perlindungan perubatan untuk tempoh lima tahun bagi golongan sasar. Dana permulaan itu juga dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Great Eastern Life Insurance untuk mencarum di bawah skim ini dan akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Great Eastern Life Insurance bersetuju untuk mencarum sebanyak RM2 bilion untuk skim mySalam

Bantuan skim mySalam ini akan memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Malaysia dari kelompok B40 yang berumur 18 hingga 55 tahun. Pada 2017, kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan B40 yang bekerja adalah masih rendah pada kadar 30.3 peratus berbanding kadar 50.4 peratus bagi kesemua rakyat bekerja.

Bagi penerima skim bantuan ini, mereka layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal yang merangkumi kanser, serangan jantung dan Alzheimer. Penerima skim mySalam yang layak akan menerima bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gentian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun.

Ini bermakna penerima akan mendapat jumlah yang bersamaan RM700 setahun bagi rawatan hospital kerajaan. Bagi penerima yang menghidap penyakit kritikal pula, mereka akan menerima bayaran ‘one-off’ sebanyak RM8,000. Skim ini telah bermula pada 1 Januari 2019 lalu dan penerima B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac nanti.

Skim mySalam bakal memanfaatkan golongan B40 untuk mendapatkan rawatan di hospital Kerajaan

Walau bagaimanapun, kerajaan perlu memperluaskan penerima skim mySalam ini dan tidak tertumpu kepada kelompok B40 sahaja. Golongan berpendapatan sederhana (M40) juga perlu diberi perhatian kerajaan kerana masih ada sesetengah keluarga dari kelompok M40 yang tidak mempunyai perlindungan insurans kerana faktor kewangan dan lain-lain sebab.

Selain itu, kerajaan juga perlu melantik syarikat insurans tempatan untuk dijadikan sebagai pencarum skim bantuan ini. Syarikat Great Eastern Life Insurance merupakan syarikat insurans dari Singapura, mungkin lebih wajar kerajaan menggunakan khidmat syarikat insurans tempatan seperti Etiqa Insurance Berhad yang merupakan gabungan antara Maybank Ageas, Malaysian National Insurance serta Takaful Nasional.

Langkah kerajaan dengan memperkenalkan skim mySalam ini merupakan langkah baik untuk memberi perlindungan kesihatan kepada rakyat khususnya dari kelompok B40. Pelindungan insurans kini dianggap sebagai keperluan kepada rakyat kerana kos perubatan makin meningkat tiap tahun. Malah, kos untuk membeli insurans luar juga semakin mahal dan skim ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here