Hidup di era tekonologi ini sememangnya penuh dengan cabaran yang sukar diramalkan. Kecanggihan teknologi sepatutnya memudahkan urusan kerja kita namun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan kemudahan ini untuk mengaut keuntungan melalui kegiatan scam. Sesiapa sahaja berpotensi untuk menjadi mangsa scammer sekiranya tidak peka dan berhati-hati dan kebiasaannya ia menyebabkan mangsa mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Kewujudan sindiket skim cepat kaya bukanlah satu perkara baharu yang berlaku di Malaysia. Baru-baru ini beberapa orang mangsa skim Ponzi kereta telah tampil mendedahkan bahawa terdapat syarikat yang mengamalkan skim ini bagi memperdayakan pembeli. Skim Ponzi kereta adalah satu skim yang memperdayakan mangsa dengan mempromosikan pembelian kereta tanpa deposit dan bayaran bulanan.

Sindiket skim cepat kaya bijak perdaya mangsa

Sama seperti dengan skim-skim yang lain, syarikat yang mengamalkan skim Ponzi kereta ini mempunyai beberapa modus operandi bagi mendekatkan diri dengan mangsa seterusnya mempengaruhi mereka. Media sosial menjadi medium untuk jurujual berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial facebook dan Instagram. Melalui laman sosial ini, mereka akan menghubungi pelanggan menerusi whatsapp bagi urusan temu janji.

Pada hari yang dijanjikan, jurujual akan menerangkan pakej yang ditawarkan kepada pembeli sebelum pembeli membayar deposit 10 hingga 12 peratus dan menyerahkan salinan kad pengenalan, lesen memandu dan bil air atau bil elektrik. Selepas semua urusan diselesaikan, pembeli akan diminta menandatangani kontrak perjanjian ‘skim kereta sewa segera milik’ dan membawa pulang kenderaan selepas urusan selesai dan jika pembeli gagal membayar dalam tempoh sebulan, kenderaan akan ditarik dan segala perjanjian akan terbatal manakala wang deposit tidak akan dipulangkan.

Tawaran-tawaran yang menarik dan mudah telah menjadi tarikan kepada orang ramai memilih skim ini dalam pembelian kereta. Di samping itu, urusan pembelian tanpa melalui institusi kewangan dan hanya mengambil masa selama 30 minit serta menawarkan pelbagai pilihan kereta berjenama juga menjadi faktor tarikan utama kepada pembeli. Hal ini menjadi faktor utama mangsa tertarik sekaligus menjadi mangsa penipuan syarikat yang mengamalkan skim Ponzi kereta.

Selain itu, tawaran urusan pembelian yang mudah dan cepat juga telah menarik minat individu yang disenaraihitamkan pihak institusi kewangan dengan menawarkan pelbagai skim antaranya skim kereta sewa segera milik untuk memancing pembeli. Ini adalah antara faktor pembeli mudah terpedaya dengan tipu helah skim ini bagi memudahkan mereka membuat pinjaman melalui syarikat berkenaan.

Masyarakat kita perlu lebih peka dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa

Oleh itu, bagi membendung permasalahan ini beberapa langkah perlu diambil dengan segera supaya ia tidak berterusan. Sebagai contoh, pelaksanaan undang-undang dengan lebih tegas seperti kakitangan kerajaan yang terlibat perlu dikenakan tindakan tegas seperti buang kerja dan lain-lain. Selain itu, pihak berkuasa juga wajar diberikan latihan dan pendedahan terkini untuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan membanteras segala bentuk skim cepat kaya.

Tanggapan masyarakat kita juga perlu diubah supaya menyedari bahawa tiada sebarang penawaran percuma tanpa risiko dan kebarangkalian untuk ditipu adalah sangat tinggi. Sikap terlalu inginkan jalan mudah dalam setiap urusan serta sikap tamak segelintir individu boleh menyebabkan individu terbabit menjadi mangsa penipuan sindiket skim cepat kaya.

Di samping itu, peranan media massa amat dituntut dalam usaha mengatasi masalah ini kerana media massa sama ada elektronik atau media cetak mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada masyarakat. Oleh itu, tayangan iklan dan peringatan tentang akibat skim seperti ini dapat menyedarkan masyarakat supaya tidak terjerumus dengan masalah ini. Dengan adanya pendedahan secara berterusan melalui media massa, masalah ini pasti dapat dikurangkan. Selain itu, satu platform rujukan oleh agensi kerajaan perlu ditubuhkan supaya orang ramai mendapat khidmat nasihat mahupun rujukan mengenai ketulenan skim yang ditawarkan.

Secara keseluruhannya, semua pihak harus bekerjasama bagi membanteras skim ini supaya ia tidak terus menular di kalangan masyarakat kita. Masyarakat kita perlu sedar bahawa untuk membanteras skim ini, masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang sangat tinggi supaya tidak terjerumus dengan masalah ini. Permasalahan ini sukar dibendung sekiranya ia tidak mendapat kerjasama semua pihak. Sindiket-sindiket ini harus dibasmi bagi melahirkan masyarakat yang lebih berkualiti pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here