Produk buatan negara bermakna barangan atau produk yang dihasilkan di Malaysia. Sebagai contoh produk buatan negara antaranya kenderaan keluaran negara Proton Gen-2, Proton Exora, Proton Persona dan barangan buatan elektronik Panasonic seperti model terbaru televisyen plasma Viera, peti sejuk NR-B53V1, penghawa dingin Inverter Deluxe serta kipas F-M15A0.

Sehubungan dengan itu, Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun menuju ke arah negara maju menjelang 2020 sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi masyarakat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan produk luar. Hal ini kerana produk buatan negara sudah menepati standard yang telah ditetapkan berdasarkan kualiti dan identiti produk Malaysia yang berjaya memikat hati masyarakat luar.

Kasut Jimmy Choo produk buatan negara

Terdapat beberapa kebaikan menyokong produk buatan negara antaranya ia dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Ini kerana membeli barangan import jauh lebih mahal berbanding membeli produk buatan negara. Sebagai contoh kasut rekaan Jimmy Choo yang mendapat sambutan dan dipandang tinggi oleh negara luar kerana kualiti yang tinggi serta rekaan yang menarik. Secara tidak langsung dengan membeli produk buatan negara, kita dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli barangan lain.

Realitinya dengan membeli produk buatan negara ia dapat mengelakkan pengaliran mata wang negara ke luar negara. Mata wang Malaysia tidak akan mengalir keluar jika masyarakat sendiri mengutamakan dan membeli barangan tempatan dalam memenuhi keperluan harian mereka. Ini menunjukkan apabila masyarakat memilih dan membeli barangan tempatan, kita sebenarnya telah berjaya mengawal mata wang kita daripada mengalir ke luar negara.

Kebanyakan pihak menyokong produk buatan negara yang dihasilkan industri kecil dan sederhana (IKS). Apabila pengguna menyokong produk buatan negara ia membantu syarikat-syarikat kecil terus beroperasi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. Secara tidak langsung ia meningkatkan pendapatan serta ekonomi negara. Namun begitu, terdapat juga segelintir pihak yang masih mendewa-dewakan barangan import kerana menganggap penggunaan barangan import dapat memperlihatkan gaya hidup yang tinggi.

Kerajaan melaksanakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2019

Justeru, kerajaan perlu melaksanakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2019 bagi menggalakkan rakyat Malaysia membeli produk buatan negara. Kempen yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan meningkatkan semangat cintakan barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.

Kerajaan juga menggalakkan peniaga runcit untuk menghasilkan pelbagai produk house brand mereka sendiri bagi memberi penjimatan sehingga 20 peratus kepada pengguna dalam membeli barangan keperluan. Harga produk tersebut jauh lebih murah berbanding jenama lain yang pastinya akan menjadi pilihan pengguna dan secara tidak langsung, mereka turut menyokong membeli produk buatan negara.

Oleh itu semua pihak khususnya masyarakat sewajarnya menyokong produk buatan negara demi kebaikan rakyat dan negara. Belilah produk buatan negara kerana produk buatan negara merupakan kebanggaan kita bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here