Selepas isu ratifikasi ICERD, kerajaan lagi sekali memberi kejutan kepada rakyat Malaysia dengan keputusan untuk menyertai Statut Rom Mahkamah Antarabangsa (Rome Statute of the International Criminal Court) pada 4 Mac 2019. Walaupun belum meratifikasikan Statut Rom, namun perjanjian yang telah ditandatangani itu terus mencipta polemik dan pandangan yang berbeza daripada pelbagai pihak.

Statut Rome adalah perjanjian rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada Negara Pihak untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa. Terdapat empat jenis jenayah di bawah bidang kuasa Statut Rom iaitu jenayah genosid, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah agresi.

Malaysia menyertai Statut Rom pada 4 Mac 2019

Persoalannya jika ICC adalah undang-undang yang melindungi Negara Pihak, tetapi mengapa perjanjian ini mendapat bantahan daripada segelintir rakyat Malaysia termasuk kerabat diraja Johor? Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi negara ahli kepada Statut Rom. Daripada jumlah itu, 31 buah negara masih lagi belum meratifikasinya dan empat buah negara kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat, Israel, Rusia dan Sudan telah memaklumkan kepada PBB untuk menarik diri daripada menjadi negara ahli.

Pada dasarnya ICC hanya boleh mendakwa individu tertentu sahaja dan tidak boleh mendakwa pada organisasi atau negara secara keseluruhannya. Menurut Perkara 27(2) Statut Rom, mana-mana pegawai kerajaan atau komander tentera sekalipun tidak imun daripada didakwa di ICC kecuali jika individu itu berusia 18 tahun ke bawah (Perkara 26 Statut Rom).

Maknanya, tidak kira individu itu perdana menteri atau raja sekalipun, jika terbukti beliau terlibat dengan jenayah antarabangsa, maka beliau tidak boleh mendapat sebarang perlindungan atau imuniti antarabangsa.

Disebabkan itu, isu ini terus mendapat perhatian daripada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila baginda dengan lantangnya menyatakan bahawa Statut Rom bakal mengancam kedudukan raja-raja Melayu, sekaligus akan memberi impak kepada kaum Melayu dan agama Islam.

Kenyataan daripada TMJ mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu

Kebimbangan rakyat Malaysia jika institusi diraja terjejas adalah disebabkan kedudukan Yang Dipertuan Agong (YDPA) sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan mengikut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan. Malaysia bukanlah negara kuasa ketenteraan selain daripada mengamalkan dasar berkecuali ke atas mana-mana konflik dunia. Malah Malaysia juga sentiasa memberikan komitmen dalam menyertai pasukan pendamai PBB.

Jika dibanding dengan statut Rom Perkara 183 dalam Perlembagaan Persekutuan ada mewartakan bahawa YDPA, sultan dan raja juga boleh didakwa di bawah undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan dengan izin daripada Peguam Negara.

Ertinya jika mengikut undang-undang Malaysia, kerabat diraja ini juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan jika baginda melakukan jenayah. Tetapi pendakwaan ke atas YDPA, sultan dan raja boleh dibuat dengan kuasa seperti yang termaktub di dalam Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan iaitu penubuhan mahkamah khas.

Bermakna undang-undang antarabangsa dan undang-undang Perlembagaan Persekutuan tetap tidak memberikan imuniti kepada kerabat diraja ini. Sesiapa tidak kira undang-undang antarabangsa mahupun undang-undang tertinggi di Malaysia, tidak akan terkecuali daripada sebarang hukuman.

Namun begitu, bukan semua jenayah antarabangsa akan didakwa di ICC. Mengikut Artikel 17 Statut Rom, sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa jika sesebuah Negara Pihak, atas sebab-sebab tertentu tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan untuk melaksanakan siasatan atau mendakwa mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa.

Hakikatnya, perasaan rakyat Malaysia masih lagi di dalam ‘mood’ bimbang dengan cadangan kerajaan untuk meratifikasikan ICERD. Bukan semua perjanjian akan memberikan impak yang negatif, melainkan jika negara kita mempunyai pemimpin yang diktator dan sanggup memanipulasi ICC untuk kepentingan sendiri.

Malaysia masih lagi meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi mengikut Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian ini akan membolehkan ‘suara’ Malaysia lebih didengari dalam menentang negara-negara yang melakukan penghapusan etnik, sekaligus menunjukkan negara kita komited dalam  menegakkan keadilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here