Kita sedia maklum golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. Walaupun kerajaan amat mengambil berat akan kebajikan golongan OKU di negara ini, namun golongan OKU terus berdepan halangan dan diskriminasi dalam kehidupan seharian. Mereka terus terpinggir dalam pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan selain politik, ekonomi, agama, budaya mahupun sosial.

Justeru, kerajaan di negara ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melindungi kepentingan OKU. Sejak Januari yang lalu, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM60.6 juta kepada 175,156 Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar untuk skim bantuan Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Pesakit Terlantar dan Bantuan OKU Tidak Bekerja. Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu dan tidak pernah meminggirkan soal kebajikan mereka dalam arus pembangunan negara.

Kerajaan memperuntukan RM60.6 juta untuk membantu OKU

Selain itu, melalui Bajet 2019, kerajaan memperuntukan RM129.8 juta untuk diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperkasakan perkhidmatan dan program kepada OKU. Peruntukan ini termasuk membuat penyediaan perkhidmatan di Taman Sinar Harapan (TSH), Bengkel Daya Klang (BDK), Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Taska OKU dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negeri.

Terdapat beberapa aspek penting yang perlu ditekankan oleh kerajaan bagi menjamin kebajikan golongan OKU antaranya ialah meningkatkan kemudahan untuk OKU di kebanyakan tempat awam seperti kompleks membeli belah, rumah ibadat, taman perumahan, perhentian bas dan teksi. Kesulitan yang dihadapi golongan OKU mungkin dapat dikurangkan sekiranya ditingkatkan kemudahan meletak kereta, laluan lebih luas untuk kerusi roda, tandas untuk OKU dan pengangkutan awam.

Selain itu, kekurangan sekolah, tenaga pengajar untuk OKU, dan kekurangan peluang pekerjaan untuk golongan OKU mencari nafkah menjadi satu beban dan cabaran buat golongan ini. Jangan lupa OKU juga mempunyai keluarga, rumah dan keperluan lain seperti orang biasa. Masih ramai rakyat OKU Malaysia menganggur malah yang bekerja cuma memperolehi gaji yang rendah meskipun mereka mempunyai kelayakan akademik. Keadaan ini sebenarnya merugikan negara memandangkan OKU juga boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan tenaga pekerja negara sekiranya diberi latihan yang bersesuaian.

Berita Harian 20 Feb 2019 : Kemudahan OKU Tidak Tepati Spesifikasi

Sehubungan itu, tindakan kerajaan untuk meminda peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi orang OKU berdaftar sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing telah membuka peluang kepada golongan itu untuk hidup berdikari. Selain itu, komitmen kerajaan boleh dilihat melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menetapkan semua sektor perkhidmatan awam dan agensi di bawahnya bagi memastikan sekurang-kurangnya satu peratus daripada pengambilan pegawai di kementerian kerajaan adalah dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU). JPA juga turut membuat hebahan peluang kerjaya di sektor kerajaan kepada individu OKU melalui beberapa pihak berkepentingan seperti persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan kebajikan golongan berkenaan.

Oleh itu, kita perlulah bersama-sama kerajaan berganding bahu memberi sokongan kepada OKU. Mereka tidak boleh dianggap sebagai anak tiri. Mereka perlu dihormati dan dilayan secara bermaruah. Kesejahteraan OKU serta golongan yang kurang bernasib baik akan menjadikan kemajuan negara ini lebih bermakna. Justeru itu, suara-suara OKU perlulah kita dengari bagi memastikan kesejahteraan hidup golongan ini terjamin di negara Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here