Demokrasi boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk struktur kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang yang ditentukan oleh rakyat menerusi sistem pilihanraya. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih.

Cadangan untuk mewujudkan silibus politik dan demokrasi di semua sekolah seluruh Malaysia oleh pihak pembangkang dilihat sebagai sebuah retorik politik dalam usaha mereka untuk meraih perhatian pengundi muda. Walaupun pada mata kasar ia dilihat sebagai usaha mempersiapkan golongan belia bagi menghadapi pilihanraya, tetapi di sebalik cadangan itu pasti akan ada gerakan untuk “memancing” golongan belia dalam mendalami ideologi perjuangan parti mereka.

Cadangan mewujudkan silibus oleh pihak pembangkang hanyalah berpaksikan politik semata

Di samping itu, sekiranya kerajaan membenarkan silibus ini dilaksanakan di semua sekolah seluruh Malaysia, pasti akan ada sedikit sebanyak ideologi dan doktrin pemahaman parti-parti politik yang akan diserapkan ke dalam jiwa golongan belia terutamanya pelajar sekolah. Hal ini kerana generasi muda zaman kini mudah dipengaruhi oleh sesuatu anasir negatif kerana jiwa mereka rapuh. Dikhuatiri, mereka akan terikut-ikut dan taksub dengan apa yang diajarkan kepada mereka. Jadi buat masa ini, cadangan ini masih belum sesuai untuk dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam kenyataannya menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak akan mewujudkan silibus baru tersebut. Sebaliknya menambahbaik kurikulum dan silibus yang sedia ada termasuk menyemak semula kandungan buku teks dan peperiksaan bagi memantapkan lagi pengajian berkaitan kewarganegaraan dan demokrasi. Dengan keputusan ini, ia sedikit sebanyak menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan belia daripada dipengaruhi dengan anasir negatif yang boleh merosakkan pemikiran mereka.

Dalam tinjauan yang dilakukan di laman sosial mengenai isu ini mendapati ada sebilangan netizen yang bersetuju dan sebahagian lagi tidak. Amat sukar untuk dirumuskan apabila terdapat jurang perbezaan pendapat yang amat kecil di kalangan netizen. Mungkin sebahagian yang bersetuju itu inginkan perubahan di dalam sistem demokrasi di bawah kerajaan baharu dan yang sebaliknya memilih untuk megekalkan pembelajaran yang sedia ada supaya tidak membebankan para pelajar dengan pemahaman demokrasi yang berat.

Walaupun subjek ini masih tidak sesuai dilaksanakan, namun kerajaan haruslah memikirkan langkah proaktif dalam menambahbaik silibus yang sedia ada supaya ia kelihatan mantap dan mampu mendidik golongan belia ini memahami konteks demokrasi secara mendalam. Antara langkah yang dirasakan sesuai untuk dilakukan oleh KPM adalah dengan mengadakan program yang berunsurkan demokrasi dan kewarganegaraan yang mampu mendidik para pelajar memahami apa itu konteks demokrasi.

Para pelajar perlu diberi lebih bimbingan untuk tujuan memahami konsep demokrasi

Selain itu, pihak kementerian haruslah menyediakan platform untuk para pelajar, ibu bapa dan sekolah membuat aduan sekiranya ada di kalangan tenaga pengajar subjek terbabit cuba menyerapkan fahaman politik secara berat di dalam sesi pengajian. Ini perlu dalam memelihara minda para pelajar agak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang bersifat ketaksuban.

Justeru, kerajaan menerusi KPM haruslah meneliti segala subjek yang melibatkan demokrasi ini secara telus dan tidak berat sebelah. Penambahbaikan silibus dan kurikulum perlulah dilakukan dengan teliti agar ia dapat memberi pemahaman yang mendalam berkenaan erti demokrasi kepada golongan belia. Hal ini penting kerana penentuan masa depan Malaysia terletak di tangan pengundi-pengundi muda. Jika tersilap, buruk padahnya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here