Malaysia dan isu subsidi minyak tidak pernah terpisah, ibarat irama dan lagu. Namun, kepincangan pihak pentadbir negara mengenai hal ini masih lagi tidak selesai, baik kerajaan dahulu mahupun kerajaan sekarang. Apa itu subsidi bersasar? Ia adalah satu bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan sama ada dari segi kewangan ataupun potongan harga terhadap industri petroleum tetapi dalam kadar yang ditetapkan dan tidak berubah.

Tujuan kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dalam meringankan beban perbelanjaan mereka terutamanya perbelanjaan terhadap bahan bakar motokar yang sering bertukar nilai jualannya secara mingguan. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah golongan berkenaan di tahap yang paling minimum.

Berita mengenai penghapusan harga siling bagi RON 95 yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 23 April lalu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap sebilangan besar rakyat di negara ini. Ini kerana menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penghapusan harga siling bagi bahan bakar tersebut hanyalah berdasarkan jumlah subsidi kerajaan yang terhad kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) apabila ia dikuatkuasa nanti.

Harga minyak semasa yang dikawal mengikut sistem apungan oleh KPDNHEP

Berikutan pengumuman itu, kebanyakan rakyat Malaysia menzahirkan ketidakpuasan hati mereka mengenai perkara tersebut. Sebilangan besar daripada mereka berasa kecewa dengan kerajaan pada hari ini yang dilihat seperti ‘cakap tidak serupa bikin’ apabila dilihat tidak mempunyai mekanisme yang tertentu selain bersikap berat sebelah dengan hanya menumpukan subsidi tersebut hanya kepada penerima BSH sahaja.

Selain itu, mereka juga mempersoalkan tentang harga bagi dua jenis minyak iaitu RON 97 dan Diesel yang dilihat saban minggu tiada perubahan dan semakin meningkat. Ini sekaligus menimbulkan persoalan tentang bagaimana janji Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di dalam manifesto 10 janji 100 hari yang mereka utarakan sebelum ini untuk menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar kepada RM1.50 seliter sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bebanan rakyat Malaysia akan bertambah sekiranya penghapusan harga siling bagi produk petroleum dilaksanakan oleh kerajaan

Dalam perkara ini, kerajaan disarankan untuk meneliti dan mengkaji secara keseluruhan mekanisme mengenai harga siling bagi RON 95 sebelum pengumuman mengenainya dilakukan. Walaupun Menteri KPDNHEP telah mengumumkan harga siling petrol RON 95 tidak akan dihapuskan dan kekal kepada RM2.08 seliter demi kepentingan rakyat, mereka juga perlu memikirkan untung nasib kepada pengguna RON 97 dan Diesel.

Antara langkah-langkah yang sesuai disarankan kepada kerajaan dalam menangani isu harga siling bagi bahan bakar ini adalah sama ada dengan mencari mekanisme tertentu tanpa mengganggu kestabilan harga minyak pada masa kini. Selain itu, pihak kerajaan juga haruslah mengekalkan sistem harga apungan terhadap RON 95 sama ada RM2.08 ataupun kepada nilai yang lebih rendah.

Di samping itu, kerajaan juga haruslah bersikap ambil tahu terhadap nasib pengguna RON 97 dan Diesel. Sekiranya RON 95 diberi subsidi yang bersasar, seharusnya ia juga dilakukan dengan pendekatan yang sama terhadap para pengguna kedua-dua bahan bakar terbabit. Kerajaan juga perlulah bersikap adil terhadap pengguna RON 97 dan Diesel, hal ini kerana mereka juga turut terbeban dengan kos kenaikan harga minyak yang dikenakan ke atas mereka dan bukan hanya tertumpu kepada penerima BSH sahaja.

Ironinya, isu harga minyak ini tidak akan selesai selagi kerajaan mengamalkan sikap ‘tarik tali’ di dalam perkara ini. Kerajaan haruslah mempunyai pendirian yang tegas dalam menetapkan harga minyak sama ada berdasarkan pada harga terkurung semasa atau pada sistem harga apungan. Ini bagi memudahkan para rakyat untuk mengawal jumlah perbelanjaan mereka terhadap petrol tanpa perlu memikirkan perubahan harga setiap masa. Apa yang paling penting, kerajaan haruslah menunaikan janji yang dilafazkan setahun yang lalu terhadap subsidi bersasar petrol terhadap rakyat mereka dan bukannya sekadar janji retorik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here