Air merupakan sumber alam semula jadi. Keaslian air telah mewujudkan pelbagai ekosistem yang menghubungkan antara benda hidup dan benda bukan hidup yang bergantung antara satu sama lain. Hari ini kita dapat saksikan beberapa isu mengenai kualiti bekalan air di negara kita sering terjejas atas beberapa sebab tertentu. Terbaru kita lihat sahaja isu pencemaran Sungai Kim Kim yang nyata telah membahayakan nyawa masyarakat setempat.

Kita perlulah menjaga kebersihan sungai supaya ia dapat dinikmati bersama

Permasalahan ini sememangnya bukan satu isu yang boleh di pandang remeh oleh pihak-pihak berwajib, malah ia merupakan satu isu yang sangat serius dan sedang dialami oleh negara kita pada ketika ini. Hal ini kerana bekalan air bersih merupakan nadi kehidupan kepada setiap makhluk bernyawa di muka bumi ini. Sama ada manusia, haiwan ataupun tumbuhan, air diperlukan untuk kelangsungan hidup. Ada pendapat menyatakan manusia hanya dapat bertahan selama tiga hari tanpa air untuk terus bernyawa. Lebih lama daripada tempoh itu meletakkan risiko manusia kehilangan nyawa akibat dihidrasi.

Oleh yang demikian, sudah tentu bekalan air bersih diperlukan. Untuk menguruskan sumber air bukanlah mudah. Namun, kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan sebelum ini telah berjaya meletakkan Malaysia muncul antara negara terbaik di Asia dalam pengurusan sumber air. Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai demi memastikan sumber yang membekalkan air bersih kepada penduduk dipelihara.

Sebagai cadangan kepada pihak kerajaan untuk memastikan tahap kualiti sumber air negara kekal terjamin adalah dengan menjadikan air bawah tanah sebagai sumber air mentah yang sama penting dengan air sungai. Selain itu, kerajaan juga perlu mewujud serta memperkasa dan menguatkuasakan undang-undang di negeri-negeri bagi memelihara sumber air bawah tanah. Secara tidak langsung ia akan mendidik seluruh warga tempatan untuk mengambil sikap lebih bertanggungjawab bagi menjaga tahap kebersihan air di negara ini.

Di samping itu, Malaysia memerlukan pengurusan sumber air yang mampan kerana negara ini bergantung sepenuhnya kepada sumber air bersih. Permintaan air bersih semakin tinggi mengatasi bekalan air bersih yang sedia ada. Air dari sumber disimpan dalam empangan, tempat rawatan air dan sistem paip akan mengagihkan bekalan air kepada pengguna. Keseimbangan bekalan dan permintaan pengguna perlu diberi perhatian supaya pengurusan bekalan air dapat diuruskan dengan baik.

Usaha memelihara sumber air juga mestilah bermula daripada penduduk. Hal ini kerana apabila air sungai surut, kita boleh nampak banyak timbunan sampah termasuk botol, plastik dan tin di kawasan yang telah surut. Tidak boleh dinafikan penduduk negara ini masih tidak ada minda yang betul dalam menghadapi isu alam sekitar dan ianya menjadi antara punca berlaku kemerosotan pada tahap kualiti air bersih di negara ini.

Sungai Kim Kim yang tercemar akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab penduduk setempat

Justeru itu, kita memerlukan kerjasama di antara setiap agensi pengurusan sumber air di setiap negeri untuk bekerjasama dalam melestarikan sungai kita. Dengan itu kerjasama yang dijalin akan memberi manfaat yang lebih baik kepada manusia, flora dan fauna dan sekali gus melestarikan sungai agar terus sihat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here