Sukar untuk menafikan bahawa Malaysia sebenarnya agak ‘pemurah’ dalam membuka ruang pekerjaan kepada pekerja asing. Kebanyakan daripada mereka mendominasi sektor pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan perlombongan serta pengkuarian.

Bukan mahu menuding jari kepada pekerja asing ini kerana terus mendominasi sektor-sektor berikut, namun hanya sub-sektor itu sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan untuk menggajikan pekerja asing. Malah, kebanyakan rakyat tempatan sendiri hanya ‘memandang sebelah mata’ sektor-sektor itu. Maka wajar juga kita sebagai rakyat tempatan ‘berterima kasih’ kepada pekerja asing ini kerana membantu merancakkan ekonomi negara dengan memenuhi sektor-sektor yang tidak popular di kalangan rakyat tempatan.

Hanya 15 peratus penggajian pekerja asing menjelang 2020

Sebenarnya kehadiran pekerja-pekerja asing ini sedikit sebanyak mengganggu peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Jumlah tenaga kerja di Malaysia dianggarkan 15.7 juta orang manakala kadar pengangguran dicatat pada 3.3 peratus.

Pada masa sama, kadar pengangguran dalam kalangan belia adalah 10.9 peratus manakala statistik Jabatan Imigresen menunjukkan 1.95 juta orang diberi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sehingga 31 Ogos 2019.

Pada masa ini kerajaan menetapkan hanya 15 peratus sahaja penggajian pekerja asing daripada jumlah guna tenaga kerja menjelang 2020. Namun menurut Ahli Parlimen Johor, Akmal Nasir daripada statistik yang diberikan di atas beliau berpandangan kerajaan wajar mengurangkan jumlah tenaga kerja pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun.

Keadaan ekonomi negara yang semakin mendesak mungkin tidak memberi banyak pilihan kepada rakyat untuk terus ‘cerewet’ dalam memilih bidang pekerjaan. Kerajaan wajar membuka peluang kepada rakyat Malaysia menceburi bidang yang didominasi oleh pekerja asing.

Isu graduan menganggur wajar mendapat perhatian kerajaan

Secara umumnya kebanyakan majikan lebih gemar menggajikan pekerja asing kerana faktor bayaran gaji kepada mereka lebih rendah berbanding dengan pekerja tempatan. Namun kehadiran pekerja-pekerja asing ini banyak memberikan kesan negatif terutama dari sudut sosial, kesihatan, jenayah dan keselamatan. Jumlah 15 peratus itu hanya yang betul-betul memiliki pas pekerjaan. Masih ada lagi di kalangan pekerja asing tanpa izin atau tiada pas pekerjaan terus ber’maharajalela’ di negara kita.

Kerajaan menyatakan setiap majikan wajib mengiklankan kekosongan sesuatu jawatan dalam portal JobsMalaysia sebelum dikeluarkan Perakuan JobsMalaysia. Pendekatan ini adalah untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan. Bagi permohonan penggajian pekerja asing, ianya wajib dibuat dalam talian menerusi Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu.

Usaha yang dilakukan menunjukkan kerajaan komited dalam menangani isu pengangguran di kalangan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, pihak majikan perlu memberikan kerjasama agar telus dalam pengambilan pekerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here