Penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar menjejaskan rakyat Malaysia menjelang 2020. Menurut Laporan Kementerian Kesihatan 2018, terdapat seramai 18,336 individu menderita tekanan perasaan berdasarkan imbasan kesihatan ke atas 273,203 individu. Daripada jumlah itu, seramai 11,811 orang menderita tekanan perasaan ringan, 3,680 sederhana dan 1,682 tekanan perasaan teruk.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental antaranya masalah kewangan khususnya bagi belia yang baru sahaja memulakan kerjaya tetapi apabila mereka gagal mencapai matlamat, persepsi keluarga dan masyarakat terhadap mereka mula berubah menyebabkan mereka berasa tertekan dan tidak berguna. Ramai yang beranggapan belia yang baru melangkah ke alam pekerjaan tidak mempunyai kekangan kewangan tetapi secara tidak sedar mereka sebenarnya mempunyai bebanan kewangan sebaik sahaja tamat pengajian kerana perlu membiayai pinjaman pendidikan mereka. Namun, apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan, dengan gaji yang diterima, banyak yang perlu diambil kira termasuk kelangsungan hidup terutamanya di kawasan bandar di mana kos sara hidupnya yang tinggi.

Akhbar Berita Sinar Harian 21 Mei 2019: Penyakit mental depresi pembunuh senyap remaja

Selain itu, masalah di tempat kerja seperti dibebani dengan tugas yang banyak juga turut menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit mental. Semasa di tempat kerja jika individu itu dimarahi oleh majikan atau dibebani dengan kerja yang banyak tanpa disedari mereka akan melepaskan kemarahan dengan cara kekerasan terhadap keluarga mereka. Keluarga yang sepatutnya dilimpahi dengan kasih sayang yang secukupnya dari ketua keluarga bertukar menjadi tempat melepaskan amarah dan dendam yang terbuku dalam hati terhadap majikan.

Penyakit mental yang tidak dirawat boleh menyebabkan pesakit melakukan aktiviti yang tidak sihat sehingga mencederakan diri sendiri. Pesakit mental yang tidak mendapat bantuan pakar, selalunya akan berakhir dengan kematian yang disebabkan membunuh diri. Malah mereka juga  sanggup  mengancam keselamatan keluarga sehingga membunuh kejam ibu bapa sendiri akibat menderita penyakit mental ini. Sebagai contoh, baru-baru ini seorang remaja berusia 16 tahun mati membunuh diri dengan terjun bangunan di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah, Kuching Sarawak. Mangsa membuat undian tersebut melalui akaun Instagram dengan memuat naik catatan ‘Really Important, Help Me Choose D/L pada kotak undi. Sebanyak 69 peratus rakan instagram mangsa menyokong hasratnya untuk mati menerusi kotak undi yang dimuatnaik menerusi instagram mangsa. Remaja tersebut tertekan selepas bapa tirinya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang pulang ke rumah mereka. Ini menunjukkan remaja berkenaan menghadapi penyakit mental yang amat membimbangkan.

Akhbar Astro Awani pada 14 Mei 2019 melaporkan bahawa remaja bunuh diri selepas dapat 69 peratus undian Instagram

Justeru, Kementerian Kesihatan memperkenalkan Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) menerusi jabatan mental dan psikiatri hospital awam menyediakan latihan serta sokongan pekerjaan kepada pesakit mental. Pesakit yang bekerja akan dipantau kakitangan unit paramedik dan jururawat yang akan melakukan lawatan satu atau dua kali seminggu, selain mengenal pasti sama ada mereka menghadapi masalah pekerjaan atau kesihatan. Kerajaan juga perlu mewujudkan Institut Kesihatan Mental bagi mengubah pemahaman dan rawatan penyakit mental melalui penyelidikan asas dan klinikal. Dengan adanya penubuhan institut tersebut ia dapat menangani perubatan serta rawatan masalah dan penyakit mental.

Oleh itu, semua pihak daripada institusi kekeluargaan, masyarakat, organisasi badan bukan kerajaan dan kerajaan perlu bekerjasama dalam memainkan peranan penting bagi menangani masalah ini. Ingatlah, kita jangan sesekali menyisihkan mereka sebaliknya kita seharusnya memberi bantuan kepada mereka bagi mendapatkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian agar masalah ini dapat ditangani dengan sebaiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here