Hampir 100,000 pesawah di Kedah dan Perlis kini ‘pening kepala’ apabila bekalan benih padi dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) masih belum sampai lagi kepada mereka. Ini kerana mereka sepatutnya memulakan penanaman padi pada akhir September lalu atau awal Oktober ini.

MOA telahpun menetapkan jadual penanaman berdasarkan ‘rice check’ kepada pesawah yang perlu dipatuhi bagi meningkatkan hasil padi. Tetapi kelewatan ini boleh menjejaskan jadual penanaman dan hasil padi mereka sekaligus menganggu punca pendapatan pesawah-pesawah ini.

Kelewatan bekalan tersebut memberi ruang kepada kemasukan benih padi tidak sah kerana tidak memiliki lesen kuota membekalkan benih kepada pesawah. Malah ia juga menyebabkan pesawah terpaksa membayar harga tinggi antara RM50 hingga RM80 satu beg benih tanpa subsidi dari pihak lain berbanding harga subsidi yang dijual pada harga RM28 hingga RM35 satu beg.

MOA menyatakan punca kelewatan bekalan benih padi disebabkan oleh syarikat pembekal

Masalah yang dihadapi oleh pesawah ini perlu segera diselesaikan dan MOA telah pun menyatakan punca kelewatan 72,000 metrik tan benih padi adalah disebabkan oleh masalah syarikat pembekal input pertanian.

Oleh kerana itu MOA harus menilai semula pemberian kontrak syarikat pembekal yang gagal menyelesaikan bekalan kepada pesawah. Penilaian semula itu bagi memastikan pembekal benih padi mampu untuk membekalkan bekalan benih mengikut kuota yang diperlukan pada masa akan datang.

Selain itu, kerajaan harus menghapuskan sistem kuota benih padi di mana penyaluran benih padi disalurkan kepada kilang-kilang atau pihak swasta. Sepatutnya penyaluran benih padi ini dilakukan oleh agensi kerajaan untuk diagihkan kepada pesawah bagi mengelakkan kilang-kilang mengaut keuntungan daripada subsidi kerajaan.

Kebajikan pesawah perlu diutamakan oleh kerajaan

Justeru, keluhan pesawah ini harus diambil berat oleh semua pihak kerana kelewatan menanam padi boleh menjejaskan kualiti padi dihasilkan. Akibatnya pendapatan mereka semakin berkurang ditambah lagi dengan bantuan sara hidup RM600 dalam tempoh tiga bulan dinikmati dahulu sudah diberhentikan.

Sumber padi sangat penting kepada negara kerana tiada padi sudah tentu rakyat Malaysia tidak boleh menikmati sajian nasi yang sudah menjadi makanan ruji negara ini. Tetapi tidak mungkin padi boleh dihasilkan tanpa pesawah yang membanting tulang untuk menanamnya. Jika ada keluhan daripada mereka maka kerajaan wajib untuk bantu menyelesaikan kebimbangan pesawah-pesawah ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here