Konspirasi penipuan dalam talian atau kegiatan scam semakin hari semakin berleluasa. Scammer semakin hari semakin kreatif mencari jalan untuk memperdaya orang ramai dengan menggunakan pelbagai taktik licik dijadikan modus operandi oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini untuk ‘memerah’ duit orang ramai.

Terbaru, tular di media sosial bahawa pihak polis telah mengeluarkan notis terhadap seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.

Surat yang dimuat naik di laman sosial oleh seorang individu itu mendakwa bahawa pihak polis ‘memerintahkan’ mangsa memberi kerjasama kepada polis Terengganu kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram berjumlah RM228,000.

scammer mencuba pelbagai helah untuk memperdaya mangsa

Namun, ia adalah salah satu taktik terbaru sindiket penipuan yang bertujuan untuk memperdayakan mangsa untuk mengaut keuntungan. Ini kerana isi kandungan surat yang dihantar tidak wujud dalam sistem fail polis dan mempunyai nombor siri palsu.

Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa peka dengan teknik-teknik licik yang digunakan oleh sindiket penipuan ini agar tidak menjadi mangsa tipu daya mereka. Setiap individu perlu memainkan peranan dengan menyampaikan berita mengenai kes-kes penipuan yang berlaku pada ketika ini agar dapat menyedarkan orang-orang sekeliling agar tidak tertipu dengan modus operandi penjenayah.

Masyarakat tidak boleh mengharapkan pihak berkuasa untuk melindungi diri mereka sebaliknya masyarakat perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kesedaran yang tinggi agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scammer.

Masyarakat perlu peka dengan isu semasa agar tidak menjadi mangsa scam

Kerajaan hanya boleh menasihatkan dan mengingatkan orang ramai melalui platform media-media sosial namun setiap individu itu sendiri perlu peka dengan sindiket-sindiket yang semakin berleluasa di media sosial.

Sindiket penipuan dalam talian ini semakin lama semakin berleluasa dan scammer pula mencuba pelbagai helah untuk memperdaya mangsa. Oleh itu, tindakan yang tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa agar sindiket ini dapat ditumpaskan. Jika masalah ini berterusan, kredibiliti pihak berkuasa pun kian tercalar kerana golongan penjenayah semakin berani melakukan jenayah seakan-akan mencabar perundangan.

Jika dilihat, sindiket penipuan mempunyai evolusi yang terus berkembang kerana penjenayah semakin kreatif memeras ugut untuk mendapatkan keuntungan. Justeru, masyarakat perlu sentiasa menggunakan akal fikiran dan sedikit sebanyak mempunyai pengetahuan mengenai undang-undang serta hak jika sekiranya dihubungi oleh pihak yang mendakwa mereka adalah pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here