Sejak kebelakangan ini, suasana politik di negara kita agak gamat dan kelam kabut serta mencetuskan kebimbangan seolah-olah ketegangan kaum sedang berlaku. Di media sosial khususnya di Facebook dan juga WhatsApp sarat dengan maklumat-maklumat yang berbaur provokasi perkauman bagai menyimbah minyak ke dalam api.

Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan talian WhatsApp bagi membolehkan masyarakat melaporkan insiden atau kandungan yang berunsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) sebagai salah satu inisiatif bagi mengekang penularan isu-isu sensitif ini.

Orang ramai boleh membuat laporan melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-220 6262 atau melalui email kepada mediasosial@mcmc.gov.my. Orang ramai boleh membuat aduan dengan mengambil tangkapan skrin dan pautan (URL) kepada kandungan yang tidak berhemah di media sosial dan hantar ke talian atau e-mel berkenaan.

Kini orang ramai lebih mudah membuat aduan kepada pihak SKMM

Bagi kandungan negatif yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pula, orang ramai perlu mengambil tangkapan skrin berserta nombor telefon individu bagi tujuan aduan.

Kewujudan platform sebegini amat diperlukan terutamanya pada waktu-waktu kritikal di mana pelbagai pihak melemparkan pandangan, menyebarkan maklumat-maklumat berbaur provokasi sehingga sukar untuk dibendung. Maka, platform sebeginilah dapat membantu pihak berkuasa mengekang isu-isu sensitif daripada terus tular dan mengeruhkan keadaan.

Golongan opportunis menjadikan WhatsApp medan untuk menyampaikan propaganda

Selain itu, talian hotline ini dapat membantu pihak berkuasa untuk mengenalpasti pengamal media yang aktif menggunakan platform media sosial untuk menyebar dan menanam nilai-nilai songsang agar boleh mengganggu keselamatan, kesejahteraan serta kehidupan berukun yang telah terbina sekian lama.

Walau bagaimanapun, tindakan ini masih mendapat kritikan daripada sesetengah pihak dan netizen yang melabelkan langkah SKMM ini adalah bersifat tidak demokratik kerana ia menghalang kebebasan bersuara.

Tidak kurang juga ada netizen yang menyambut baik usaha SKMM ini kerana ia dapat mengawal kebebasan bersuara pengamal media yang ingin menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan propaganda bagi mencapai sesuatu kepentingan.

Tindakan SKMM menyediakan talian hotline ini adalah merupakan salah satu insiatif kerajaan untuk membendung penularan isu-isu sensitif yang dilihat semakin lama semakin berleluasa dan sukar dibendung. Talian ini bukanlah untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi lebih kepada memberi peringatan kepada masyarakat agar mengamalkan sikap bertanggungjawab dan bersederhana dalam mengulas isu-isu sensitif agar keharmonian dah kedamaian yang telah dikecapi selama 62 tahun ini tidak hancur akibat tangan yang tidak bertanggungjawab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here