Pengguna setia GRAB dijangka akan berdepan dengan masalah kenaikan harga tambang secara dinamik sehingga dua kali ganda berikutan kemungkinan penyusutan bilangan pemandu            e-hailing yang beroperasi disebabkan oleh peraturan baharu yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Kenaikan tersebut akan memberi kesan negatif selain boleh menyebabkan kerugian kepada perkhidmatan berkenaan.

Kenaikan tambang GRAB ini adalah berpunca daripada kekurangan pemandu pada masa kini. Hal ini disebabkan oleh kegagalan para pemandu untuk mendapatkan lesen PSV serta membuat pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM yang telah diarahkan oleh kerajaan kepada para pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen tersebut.

GRAB semakin popular di kalangan rakyat Malaysia

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), terdapat 167,000 pemandu e-hailing di Malaysia tetapi Kementerian Pengangkutan memaklumkan hanya 16,338 pemandu yang telah menduduki ujian PSV. Dari jumlah itu, hanya 62% atau 10,151 yang lulus.

Oleh itu, sudah pasti para pelanggan setia GRAB paling terkesan dengan masalah ini oleh kerana perkhidmatan GRAB ini semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia. Dengan berlakunya kenaikan harga tambang akan membuatkan rakyat menjadi semakin terbeban oleh kerana ada yang menggunakan perkhidmatan GRAB untuk mereka pergi ke tempat kerja setiap hari.

Pelanggan juga pada masa ini semakin sukar untuk mendapatkan GRAB oleh kerana mereka perlu menunggu lama untuk mendapatkan seorang pemandu. Situasi ini dilihat akan mendatangkan masalah kepada ramai pelanggan yang harus berebut-rebut untuk mendapatkan pemandu dan sekaligus akan menjejaskan sedikit pengurusan masa harian mereka.

Aplikasi grab yang mudah untuk digunakan oleh para pelanggan

Oleh yang demikian, pihak kerajaan juga perlu memikirkan beberapa inisiatif kepada para pemandu untuk memudahkan urusan mereka mendapatkan lesen PSV. Selain itu, mungkin pihak kerajaan boleh memanjangkan lagi tempoh kepada para pemandu untuk menguruskan segala tuntutan yang telah di arahkan oleh pihak kerajaan kepada pemadu e-hailing ini oleh kerana tempoh 3 bulan dianggap terlalu singkat untuk mereka. Pihak JPJ dan PUSPAKOM juga perlu menambah slot khas pemeriksaan, kelas, ujian bagi memenuhi keperluan pemandu e-hailing bagi mendapatkan lesen PSV.

Pihak GRAB juga perlu mencari alternatif lain supaya tidak lagi membebankan para pengguna setia mereka. Diharapkan isu ini akan segera diselesaikan bagi menguntungkan semua pihak termasuk pengguna Grab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here