Tahukah anda bahawa 19 November setiap tahun adalah Hari Tandas Sedunia? Mungkin ada yang tertawa mendengar Hari Tandas Sedunia namun ia menunjukkan bahawa isu kebersihan tandas ini adalah isu yang amat penting sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan hari tersebut.

Manakan tidak, menurut laman web World Toilet Day 2018, sebanyak 4.5 bilion penduduk dunia tidak menggunakan tandas yang selamat dan sudah pasti tidak terkecuali juga bagi rakyat Malaysia.

Tandas yang basah dan kotor sudah sinonim dengan tandas awam di Malaysia. Apabila menyebut tandas awam sudah pasti bayangan tandas yang busuk dan kotor ada dalam fikiran penulis mahupun setiap orang. Isu ini juga menjadi kebimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sehingga beliau sendiri seringkali ‘turun padang’ melihat keadaan tandas di Malaysia.

Tun Mahathir berasa malu melihat keadaan tandas awam di Malaysia yang tidak bersih dan busuk kerana keadaan ini akan mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Tun Mahathir turun padang spot check keadaan tandas di Malaysia

Namun hakikat tersebut tidak dapat dinafikan kerana jika kita ingin menggunakan tandas awam tidak kira dimana pun, dapat kita lihat tandas duduk dipenuhi dengan tapak-tapak kasut sedangkan tandas itu dibina untuk duduk bukan mencangkung diatasnya. Namun segelintir rakyat Malaysia masih tidak biasa menggunakan tandas duduk atau geli lalu mengambil keputusan untuk mencangkung diatas tandas duduk tersebut.

Selain itu, terdapat juga golongan yang malas menggunakan pam tandas sehingga membiarkan ‘sisa’ mereka begitu sahaja untuk tatapan pengguna yang lain. Tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak ini amat menjelikkan. Apa salahnya jika pastikan tandas itu di pam dahulu sebelum keluar agar pengguna lain dapat menggunakan tandas dengan selesa.

Isu kebersihan tandas ini mungkin nampak perkara remeh bagi sesetengah pihak tapi kebersihan tandas ini amat mencerminkan peribadi seseorang dan dalam konteks tandas awam, ia mencerminkan peribadi serta mentaliti rakyat Malaysia yang masih lagi berada di tahap yang rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Korea.

Tahap kebersihan tandas awam di Malaysia jauh berbeza jika dibandingkan dengan Jepun

Memandangkan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk masuk ke tahun 2020 iaitu Tahun Melawat Malaysia dan jika keadaan ini masih lagi di tahap yang sama, ia akan memberi tanggapan negatif kepada pelancong luar negara. Sedikit sebanyak imej negara akan terjejas kerana ia mencerminkan kegagalan kerajaan dalam mendidik masyarakat akan kepentingan menjaga harta benda awam.

Walau bagaimanapun kerajaan masih lagi berusaha mendidik rakyat Malaysia dengan mementingkan pengajaran Pendidikan Sivik di sekolah agar dapat membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa.

Seharusnya nilai dan tanggungjawab asas ini perlu ada dalam diri setiap individu kerana kebersihan adalah perkara asas dalam kehidupan dan sepatutnya sepertimana kebersihan rumah dijaga begitu juga perlu dipraktikkan di luar. Kerajaan telah pun menyediakan pelbagai kemudahan malah meningkatkan kualiti tandas awam mengikut peredaran zaman namun mentaliti masyarakat Malaysia masih lagi seperti mentaliti kelas ketiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here