Tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) bermaksud kewajipan pengurusan sesebuah organisasi untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang akan membantu dalam kebajikan kepada masyarakat serta organisasi. CSR juga merupakan komitmen bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej organisasi.

Sehubungan dengan itu, baru-baru ini Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Bengkel Serantau bertajuk Domestikasi Spesies Terancam Endemik di Ekosistem Daratan Terosot pada 7 dan 8 November 2019. Bengkel ini bertujuan berkongsi maklumat serta teknologi terkini dalam usaha pemuliharaan spesies terancam terutamanya di kawasan tropika di rantau ASEAN. Ini akan membantu memupuk kesedaran menjaga dan melindungi alam sekitar khususnya di kalangan masyarakat.

FRIM bersama-sama peserta bengkel di di Ekosistem Daratan Terosot

Selain itu, sebuah syarikat Plus Solar Academy telah menganjurkan bengkel secara percuma di universiti merentasi seluruh Malaysia di mana pelajar diuji dari segi kemahiran teknikal melalui aktiviti penciptaan sistem tenaga solar serta lawatan tapak untuk mengkaji fungsi panel solar di dunia nyata. Melalui bengkel ini, Plus Solar Academy mendedahkan pelajar dengan pemahaman holistik berkenaan dengan isu semasa dalam industri, meliputi dasar kerajaan, teknologi, pembiayaan, serta trend dan peluang semasa, dengan harapan pelajar sedar akan potensi industri tenaga boleh baharu lalu memilih untuk menceburi bidang ini. Secara tidak langsung ia dapat menggalakkan mereka bekerja dalam bidang teknologi solar dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan golongan muda.

Terdapat beberapa kebaikan pelaksanaan CSR oleh syarikat korporat antaranya ia dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara. Pelbagai bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat dalam bentuk bantuan kewangan secara tidak langsung dapat membantu golongan miskin meningkatkan taraf hidup mereka. Sebagai contoh, bantuan pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak miskin mampu membantu mengubah kehidupan keluarga tersebut. Ini dapat mengurangkan bebanan keluarga bagi menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka.

Syarikat swasta membantu  dari segi pendidikan kanak-kanak

Realitinya melalui pelaksanaan CSR, masyarakat lebih mengenali institusi korporat dan mampu meningkatkan imej syarikat berkenaan. Malah nilai moral pekerja dapat ditingkatkan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, suasana kerja yang lebih baik dapat diwujudkan kerana setiap individu saling bantu membantu serta bekerjasama dalam melaksanakan tugasan yang telah diberikan sekaligus dapat memajukan lagi syarikat tersebut.

Justeru, kerajaan sewajarnya meningkatkan lagi kerjasama dengan syarikat korporat bagi membantu masyarakat setempat demi memenuhi keperluan masa depan negara. Mereka seharusnya membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang dan membelakangi birokrasi. Malah kerajaan juga seharusnya memberi bantuan kewangan kepada syarikat korporat khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sesuatu produk mahupun teknologi yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Oleh itu, semua pihak khususnya syarikat korporat sewajarnya mempertingkatkan lebih banyak lagi program-program CSR. Ini kerana program-program CSR mampu mewujudkan syarikat yang lebih bertimbang rasa terhadap keperluan masyarakat dan kerjasama di antara pelbagai kaum di samping dapat mengurangkan pencemaran atau kerosakan alam sekitar. Dengan itu masyarakat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here