Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong golongan wanita terlibat dalam industri perkhidmatan teksi motorsikal. Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ia bertepatan dengan kehendak sektor pekerjaan yang memerlukan khidmat wanita tanpa ada diskriminasi gender selain menekankan aspek keselamatan dan kebajikan pekerja wanita di sektor berkenaan.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan ini dilihat tidak sesuai memandangkan ia menambah masalah trafik di Kuala Lumpur. Jika anda pernah memandu kereta di kawasan sesak seperti Jalan Tun Razak pada waktu puncak, anda akan tahu betapa seksanya hendak menukar lorong dan jarang sekali ada yang mahu memperlahankan motorsikal mereka. Namun begitu, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan perkhidmatan ini juga adalah lebih baik menjalankan tempoh percubaan dahulu dengan mencari satu lokasi iaitu kawasan bandar yang dirasakan sesuai dan melaksanakannnya dalam tempoh beberapa bulan terlebih dahulu bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan ini.

Terdapat beberapa kebaikan perkhidmatan ini antaranya memberi peluang pekerjaan kepada penunggang motorsikal khususnya Mat Motor. Perkhidmatan ini mampu menjana pendapatan dan diyakini dapat membantu mereka menaikkan taraf hidup. Secara tidak langsung ia mengurangkan kadar pengangguran di kalangan anak muda dan juga mengurangkan gejala sosial seperti mat rempit.

Teksi motorsikal buka peluang pekerjaan pada belia.

Namun begitu, terdapat keburukan pelaksanaan perkhidmatan ini khususnya dari faktor keselamatan berikutan kadar kematian melibatkan penunggang motorsikal di negara ini setiap tahun adalah tinggi. Sebagai contoh, penumpang duduk dalam kereta, apabila berlaku kemalangan impak pertamanya terhadap badan kereta kemudian baru sampai kepada badan penumpang sedangkan kemalangan motorsikal pula terus menyebabkan kecederaan kepada badan. Oleh itu, mereka berisiko besar menghadapi kemalangan selain mendapat kecederaan yang serius berbanding mereka yang memandu kereta.

Kemalangan motorsikal boleh membawa maut.

Selain itu, ia juga akan menyebabkan pemandu teksi kehilangan punca pendapatan. Walaupun dengan hanya satu penumpang yang boleh membonceng, namun mereka mampu memperoleh pendapatan agak lumayan berikutan perjalanan tidak terhalang walaupun dalam keadaan kesesakan lalu lintas. Malah sekiranya perkhidmatan ini turut dibenarkan beroperasi di bandar-bandar kecil sudah pasti penumpang mereka akan lebih mudah dicuri oleh kumpulan ini dan ianya sudah pasti mengurangkan jumlah pendapatan harian yang teruk terjejas pada masa kini.

Justeru, semua pihak khususnya kerajaan sewajarnya mengambil kira beberapa aspek seperti undang-undang lebih ketat demi keselamatan penumpang dan latihan yang mencukupi kepada penunggang serta kemudahan memilih penunggang mengikut jantina bagi mengelakkan kemalangan maut khususnya di kalangan penunggang motorsikal.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here