Keadaan ekonomi yang semakin mendesak membuatkan kebanyakan rakyat Malaysia terpaksa melupakan ‘waktu rehat’ bagi memenuhi keperluan kewangan yang semakin meruncing.

Melakukan kerja sambilan bukan lagi satu ‘dosa’ yang mengundang ‘cakap-cakap’ belakang. Kini pekerjaan sambilan seolah-olah satu keperluan yang terpaksa dilakukan oleh kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mencari wang sampingan.

Malahan ada di kalangan golongan profesional seperti doktor yang melakukan kerja sambilan sebagai doktor lokum di klinik swasta atau kerajaan. Bermakna kekangan ekonomi bukan sahaja di rasai oleh golongan bawahan, bahkan golongan profesional juga terasa dengan impak ekonomi yang melanda negara kini. Mungkin juga ada benar pepatah yang menyatakan ‘besar periuk nasi, besar jugalah keraknya’.

Golongan wanita dan OKU antara yang tidak terkecuali dalam mencari sumber pendapatan sampingan

Perkhidmatan penghantaran makanan, perkhidmatan e-hailing dan perniagaan dalam talian antara pekerjaan sampingan yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Gaji minimum RM1,100 yang ditetapkan oleh pihak kerajaan masih lagi belum mampu menampung kenaikan kos sara hidup. Daripada jumlah RM1,100 itu belum lagi mengambil kira jumlah potongan KWSP atau koperasi syarikat.

Ekonomi negara perlu distruktur semula bagi membantu mewujudkan peluang pekerjaan dengan jumlah gaji yang seimbang dengan keadaan ekonomi semasa. Bukankah mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan itu juga merupakan janji kerajaan PH sebelum memenangi pilihan raya, maka tiada salahnya jika diingatkan semula.

Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein menyatakan, melalui data KWSP ekonomi negara masih mampu memberi kenaikan 10 hingga 15 peratus dalam kadar gaji semasa. Kerajaan pernah berjanji untuk memberikan gaji minimum RM1,500. Samada janji ini bakal dilaksanakan atau tidak, ianya mungkin boleh dilihat secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun ini.

Antara janji yang pernah ditaburkan oleh kerajaan sebelum PRU14

Melakukan kerja sampingan mungkin boleh merancakkan ekonomi keluarga. Malah ekonomi negara juga pasti sedikit sebanyak akan mendapat impak yang positif. Namun kesibukkan untuk mencari ‘duit lebih’ pasti memberi kesan pada institusi kekeluargaan. Kesibukan melakukan kerja sampingan menyebabkan emosi anak-anak terabai. Maka jika dibiarkan mungkin akan mendatangkan kesan kepada perkembangan rohani dan moral anak-anak.

Melakukan ‘dua’ kerja dalam satu masa tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa yang mampu melakukannya. Setiap individu mempunyai perancangan kewangan yang berbeza. Namun kebanyakkan daripada mereka yang mencari sumber pendapatan lebih adalah untuk memenuhi tuntutan kewangan yang semakin meruncing.

Maka kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya kos sara hidup dan gaji yang diterima seimbang dengan ekonomi semasa. Mengikut pada ekonomi sekarang, si kaya semakin kaya, manakala si miskin semakin miskin. Jurang ekonomi yang terlalu jauh menyebabkan tiada keseimbangan di antara kedua-dua golongan ini.

Rakyat Malaysia terutama golongan Melayu yang mendominasi pekerjaan sampingan ini bukan ‘pemalas’.  Malah bekerja sebagai penghantar makanan bukanlah pekerjaan yang tidak bermaruah. Stigma masyarakat yang terlalu memandang ‘mulia’ pekerjaan profesional menyebabkan mereka lupa bahawa ada golongan yang terpaksa menebalkan muka, memaksa kudrat untuk terus bekerja semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here