Kerajaan Thailand telah membuat satu keputusan yang mengejutkan baru-baru ini apabila bakal menjadi negara asia pertama meluluskan penggunaan ganja secara sah di sisi undang-undang untuk tujuan penyelidikan dan perubatan. Keputusan tersebut akan meneruskan tradisi negara Gajah Putih yang menggunakan ganja untuk mengurangkan rasa sakit dan keletihan sehingga tahun 1930.

Thailand merupakan pengeksport ganja terbesar dunia pada tahun 1980 dan digunakan untuk mengawal tekanan, loya dan kesakitan ketika bersalin. Kajian daripada negara itu menunjukkan ganja boleh digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti loya dan hilang selera makan untuk pesakit kanser dalam kemoterapi, epilepsi kepada kanak-kanak dan pelbagai sklerosis.

Akta Narkotik 1979 akan dipinda bagi membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan di Thailand

Kabinet menteri di bawah kerajaan tentera junta telah meluluskan untuk meminda undang-undang yang akan membenarkan pengujian ganja untuk tujuan perubatan. Perhimpunan Perundangan Kebangsaan yang kini membahaskan rang undang-undang itu dijangka meluluskannya pada bulan April 2019. Ini sekaligus akan memecahkan dominasi Amerika Syarikat dan Kanada yang telah menguasai pasaran bernilai RM53 bilion ini. Menurut akhbar The Bangkok Post, pindaan ke atas Akta Narkotik 1979 itu juga membenarkan import dan eksport serta pemilikan ganja serta ketum bagi tujuan perubatan di Thailand.

Terkesan daripada keputusan Thailand itu, terdapat juga desakan untuk Malaysia melakukan langkah yang sama untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendapat hanya akan membenarkan penggunaan ganja jika ianya benar-benar selamat digunakan dan syarikat-syarikat perubatan perlu menunjukkan bukti tentang penggunaannya bagi tujuan perubatan sebelum ianya boleh didaftarkan.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun tidak bersetuju dengan langkah meluluskan penggunaan produk ganja seperti dilaksanakan Thailand kerana boleh menimbulkan pelbagai masalah di negara ini. Masalah penyeludupan ganja secara haram boleh berlaku secara berleluasa hingga berlaku peningkatan penagihan dan pengedaran ganja serta pelbagai jenis dadah lain. Negara juga terpaksa membelanjakan hampir RM8 bilion untuk membanteras gejala dadah yang menular di negara ini termasuk penempatan banduan yang disabitkan dengan dadah.

PDRM tidak bersetuju dengan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan seperti diamalkan di Thailand

Oleh kerana itu, kerajaan tidak seharusnya mengikut langkah Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja selagi masalah penyalahgunaan dadah masih menular di negara ini. Walaupun ada kajian luar yang menunjukkan ganja boleh digunakan dalam perubatan, masih ada lagi perubatan moden yang boleh merawat penyakit yang sama.

Malah jika penggunaan ganja diluluskan, dikhuatiri boleh berlaku penyalahgunaan bahan tersebut dengan menggunakan alasan perubatan dan berlaku aktiviti penyeludupan yang tidak terkawal di negara ini. Maka kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sehingga ianya dapat dibuktikan dapat merawat penyakit tertentu dan disokong data dari seluruh dunia jika mahu penggunaan ganja dalam perubatan dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here