Kebebasan media di Malaysia semakin disalah guna. Netizen semakin melampau-lampau dalam memberikan pendapat dan luahan lalu mencetuskan polemik di media sosial. Kebanyakan daripada mereka tidak memikirkan sensitiviti agama lain sehinggakan mencetuskan ayat penghinaan dan menjadi perdebatan di kalangan netizen.

Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aishah melalui karikatur melampau. Isu ini telah mencetuskan kemarahan semua umat Islam di Malaysia. Tanpa apa-apa motif, karikatur ini dibangkitkan? Mengapa? Kini suspek dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia dan komplikasi kesihatan.

Kemudian timbul pula isu perletakan berhala di Surau Sabilul Huda, Klang pada 20 Februari lalu yang mencetuskan kemarahan umat Islam. Perbuatan ini dilakukan oleh suspek yang pernah mempelajari ilmu agama yang salah.

Perkara ini bukan lagi sesuatu yang baharu di Malaysia. Walaupun kronologi cerita masih sama iaitu penghinaan agama dan kebangkitan kemarahan rakyat, namun ianya seperti tiada apa-apa tindakan tegas yang mampu membuatkan rakyat di negara ini harus ‘memikirkan’ 10 kali sebelum menyiarkan sebarang ‘hinaan’ di media sosial. Seperti kes penghinaan agama yang melibatkan Alvin Tan dan Vivian Lee. Mereka pernah memuat naik gambar makanan Bak Kut Teh (Sup Khinzir) sebagai juadah berbuka puasa di Facebook. Di atas kesalahan itu, mahkamah telah menetapkan pasangan terbabit diikat jamin RM30,000 iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta dua orang penjamin setiap seorang.

Isu penghinaan oleh Alvin Tan dan Vivian Lee

Isu penghinaan agama tidak wajar dipandang enteng. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang melibatkan 196 kematian, 180 kecederaan dan lain-lain kemusnahan adalah akibat daripada sikap tiada sensitiviti sesetengah kaum yang berlainan agama dengan sengaja mencetuskan kemarahan. Puncanya adalah daripada perbezaan fahaman politik, sehinggakan faktor agama dijadikan sebagai bahan penghinaan. Peristiwa 13 Mac 1998 akibat daripada ketegangan isu kuil dan masjid di Kampung Rawa, Pulau Pinang telah menyebabkan berlakunya pergaduhan di antara kedua-dua agama ini. Walaupun tiada pertumpahan darah, namun isu ini telah mencalarkan imej perpaduan Malaysia.

Peristiwa 13 Mei yang telah mengorbankan 196 nyawa

Implikasi peristiwa-peristiwa ini kepada negara cukup besar. Tidak mustahil jika tiada tindakan yang benar-benar tegas daripada pihak kerajaan, ianya boleh membangkitkan kemarahan rakyat, lalu menggugat keamanan negara. Hayati maksud Rukun Negara, bukan sekadar membaca sebagai syarat untuk ikrar dan angkat sumpah semata-mata. ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ bermaksud bangsa dan negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Jadikan ia sebagai asas di dalam kehidupan. Hormati kepelbagaian agama dan kaum yang ada di Malaysia. Jangan jadikan setiap kekurangan itu sebagai polemik.

Kebebasan bersuara perlu dihadkan kepada isu-isu tertentu. Rakyat Malaysia sering menyalah gunakan kebebasan bersuara. Apakah nilai kepada kebebasan bersuara jika tiada kualiti yang disampaikan? Hanya perkataan yang berbaur hinaan dan kecaman untuk mengundang kemarahan.

Demi menjaga kehormatan setiap agama di Malaysia, perpaduan kaum dan keamanan negara, kerajaan digesa agar segera mewujudkan Akta Kebencian Agama dan Kaum. Tetapkan undang-undang yang tegas dan jangan beri muka kepada individu yang terlibat. Tiada kompromi kepada mereka yang cuba menggugat keamanan negara dengan memainkan sentimen agama dan perkauman!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here