Perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa yang berlangsung pada hari Sabtu lalu dicemari dengan penyertaan daripada golongan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT). Slogan dan laungan “Hidup LGBT” kedengaran sepanjang perarakan yang bermula dari pusat membeli belah SOGO hingga ke Masjid Jamek dan disertai seramai 1,000 peserta yang membawa sepanduk dan plakad serta membawa bendera pelangi sebagai tanda sokongan terhadap golongan tersebut jelas mengejutkan semua pihak.

Di samping tuntutan yang dikemukan, para golongan LGBT ini juga menuntut supaya pergerakan mereka ini diiktiraf dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak. Menurut laman web rasmi program Women’s March Malaysia, program ini dianjurkan oleh “gabungan longgar merangkumi pelbagai pihak termasuk kolektif, NGO dan individu tertentu namun disokong oleh pergerakan-pergerakan seperti Sister in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Perhimpunan sempena Hari Wanita Antarabangsa di cemari dengan insiden pencerobohan golongan LGBT pada Sabtu lalu

Himpunan yang bertemakan “Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan” tersebut dikhabarkan tidak mendapat permit kebenaran daripada pihak PDRM. Antara tuntutan yang dilaungkan sepanjang perarakan tersebut adalah menamatkan semua keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual, menghapuskan perkahwinan kanak-kanak, memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri, memastikan gaji minimum RM1,800 dan menghapuskan sikap patriarki (ketuanan lelaki) serta membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.

Kebiadapan golongan LGBT dalam mencemari perhimpunan Hari Wanita Antarabangsa ini dilihat sebagai satu amaran yang amat merbahaya. Ini kerana mereka dengan lantang menyuarakan hasrat mereka supaya pergerakan mereka diiktiraf sebagaimana ia diiktiraf di kebanyakan negara. Sekiranya gerakan mereka ini diberi kelonggaran dalam menuntut hak mereka di negara ini, nescaya ia akan memberikan kesan dan impak yang besar terhadap kedudukan agama Islam di negara ini.

Antara kesan dan impak yang akan diterima adalah pandangan negatif terhadap Malaysia oleh negara-negara Islam dunia berikutan statusnya sebagai salah sebuah negara ahli Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) tetapi mengamalkan amalan yang tidak selari dengan ajaran Islam. Selain itu, sekiranya pengiktirafan diberikan kepada golongan berkenaan, mereka akan mudah menjalankan ‘dakyah’ mereka dengan mempengaruhi para belia di negara ini khususnya yang beragama Islam untuk berkelakuan secara songsang, jauh dari norma-norma kemanusiaan. Ini kerana, dengan kecanggihan teknologi masa kini, semua maklumat berada di hujung jari.

Gerakan LGBT tidak akan sekali-kali diiktiraf oleh negara Islam seperti Malaysia

Justeru, kerajaan dan jabatan-jabatan agama seluruh negara disarankan untuk mengambil langkah yang drastik bagi membendung gejala ini dari terus merebak dan menjadi ‘barah’ dalam Malaysia. Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah dengan menerapkan lebih nilai-nilai kerohanian menerusi rancangan-rancangan yang berunsurkan keagamaan di televisyen. Hal ini dapat memberikan pencerahan kepada rakyat betapa bahayanya gerakan LGBT.

Di samping itu, pihak PDRM dan KDN juga perlu memainkan peranan yang lebih ketat dengan memantau pergerakan dan juga sebarang penganjuran himpunan haram bagi golongan ini agar ia tidak mencemarkan suasana di negara ini sekaligus mengundang persepsi negatif rakyat Malaysia tentang pendirian kerajaan terhadap golongan ini.

LGBT merupakan satu gerakan songsang yang tidak akan sekali-kali diiktiraf di negara ini. Kebiadapan mereka dalam melakukan pencerobohan semasa perhimpunan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur tempoh hari sudah cukup mencerminkan keperibadian mereka yang tidak mempedulikan hal sekeliling asalkan matlamat mereka tercapai. Bayangkan sekiranya gerakan ini diiktiraf? Sudah pasti ia akan memberi tamparan hebat kepada Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang dihormati seluruh dunia. Lebih malang lagi, ia akan merosakkan akhlak dan sahsiah rakyat negara ini dan menggalakkan penularan budaya barat yang tidak bermoral.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here