Kematian kanak-kanak lelaki di Johor akibat difteria pada 21 Februari lalu memberikan tamparan hebat kepada golongan anti vaksin, kerana kanak-kanak yang berusia dua tahun itu tidak pernah menerima apa-apa suntikan sejak dari lahir. Selain daripada isu doula (peneman ibu bersalin), golongan yang menolak imunisasi juga menjadi polemik di negara ini. Soalnya bukanlah terletak pada prinsip individu, tetapi kesannya kepada permasalahan sejagat.

Kebanyakan golongan anti vaksin memberikan alasan bahawa kesan sampingan selepas pengambilan imunisasi antara punca mereka menolak vaksin, walhal kesan sampingan akibat imunisasi adalah ringan dan tidak merbahaya seperti demam dan sakit pada tempat suntikan.

Penyakit difetria sering menyerang kanak-kanak

Polemik mengenai kandungan vaksin yang terdapat bahan-bahan seperti aluminium, merkuri dan logam berat yang akan menyebabkan autisme perlu disangkal. Banyak faktor lain yang mengundang kepada penyakit autisme, bukan vaksin sahaja. Mengikut keterangan Pakar Perunding Pediatrik, Dato Dr Musa, susu ibu mengandungi kandungan garam aluminium yang lebih tinggi berbanding vaksin.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan vaksin lima serangkai yang disediakan di klinik-klinik kesihatan secara percuma. Vaksin yang dikenali sebagai DTaP-IPV/Hib ini mampu mencegah penyakit Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Jenis B. Walaupun vaksin ini bukanlah jaminan bahawa kanak-kanak yang diberi suntikan akan bebas daripada penyakit sepenuhnya, namun ia dapat membantu meringankan simptom penyakit.

Golongan-golongan yang menolak vaksin sering beranggapan bahawa anak orang lain yang diberi suntikan sudah memadai. Maka anak mereka tidak memerlukan suntikan untuk mencegah sebarang jangkitan. Tetapi hakikatnya, anak-anak golongan anti vaksin ini telah mendedahkan anak orang lain kepada bahaya-bahaya penyakit berjangkit. Ini dipanggil imuniti berkumpulan. Buktinya, selepas kematian kanak-kanak berusia dua tahun itu, lima lagi kanak-kanak termasuk kakak mangsa telah disahkan positif Difteria dan akan dikuarantinkan. Jika terdapat ramai golongan anti vaksin yang memperjuangkan perkara yang sama, bermakna mereka telah melemahkan atau menghilangkan imuniti yang ada pada tubuh kanak-kanak.

Kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa memberikan makanan yang berkhasiat dan sunnah sudah cukup untuk memenuhi keperluan imunisasi kanak-kanak. Melalui rancangan Analisis terbitan TV Alhijrah, Dr Nurul Huda, pegawai perubatan yang menolak vaksin sendiri mengakui bahawa pemakanan yang berkhasiat dan penjagaan kesihatan hanyalah sebagai alternatif, bukannya sebagai pengganti vaksin.

Perdebatan di antara Dr Huda & Dr Musa mengenai vaksin

Kerajaan perlu bertindak tegas dengan mewajibkan ibu bapa mengambil suntikan vaksin untuk bayi mereka. Ikut sahaja garis panduan seperti di Jerman. Bayi yang lahir di Jerman, walaupun ibu bapanya tidak memiliki kerakyatan negara sana, mereka akan diberikan surat peringatan oleh pihak kementerian kesihatan atau jabatan kebajikan untuk memberikan suntikan vaksin kepada bayi dalam tempoh yang telah ditetapkan. Kegagalan memvaksinkan bayi akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil. Ibu bapa akan dianggap tidak berkemampuan untuk menjaga dan bayi tersebut akan diambil oleh pihak kerajaan.

Menghalang kemasukan kanak-kanak yang tidak divaksin ke sekolah adalah salah satu alternatif oleh pihak kerajaan. Namun sejauh mana alternatif ini mampu membendung gejala jangkitan penyakit berjangkit? Kebanyakan kanak-kanak yang diserang penyakit difteria di Johor berusia empat tahun dan ke bawah. Maka, tanpa sebarang toleransi, kerajaan perlu ‘memaksa’ ibu bapa untuk memberi suntikan vaksin pada anak-anak mereka seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Nyawa kanak-kanak bukan bahan eksperimen ibu bapa!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here