Jarang sekali kita dengar harga tiket penerbangan domestik sempena musim perayaan lebih murah berbanding hari biasa. Namun jika harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit, itu sudah pasti menimbulkan ketidakpuasan hati kebanyakan perantau yang mahu pulang beraya.

Permintaan yang tinggi daripada pengguna merupakan antara salah satu faktor kenaikan harga tiket penerbangan. Tetapi itu bukanlah alasan oleh pihak-pihak tertentu untuk menaikkan kadar tambang tiket penerbangan dengan sewenang-wenangnya. Menteri Pengangkutan Anthony Loke meminta agar syarikat operasi meningkatkan jumlah penerbangan supaya purata harga tiket dapat diturunkan.

Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia terus menjadi bualan hangat di media sosial. Isu yang polemik ialah kadar tambang tiket penerbangan domestik dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah yang mencecah sehingga RM1,097 bagi penerbangan sehala. Bahkan perjalanan sehala ke Kota Bahru juga mencecah sehingga RM344.30.

Harga tiket penerbangan tambang murah yang mengenakan kadar caj yang tidak berpatutan

Kenaikan ‘melampau’ harga tiket sangat membebankan pengguna, apatah lagi bagi golongan pelajar. Musim perayaan bukanlah alasan untuk syarikat penerbangan ini menaikkan harga tiket tanpa kawalan.

Kerajaan tidak menetapkan harga siling atau lantai bagi tiket penerbangan, bagi menggelakkan dimanipulasi oleh pihak berkaitan. Tetapi kerajaan perlu bertindak seperti mengarahkan pihak berkuasa pengangkutan negara ini supaya mengurangkan harga tiket penerbangan pada musim perayaan. Tindakan yang sama dilakukan oleh Kerajaan Indonesia dalam mengawal harga tiket penerbangan negara mereka.

Mungkin salah satu faktor kenaikan kos yang perlu diambil kira adalah pengunaan ‘aerobridge’ yang digunakan oleh penumpang untuk ke terminal. Maka, untuk pengurangan kos bagi pihak syarikat penerbangan, terutamanya Air Asia, tiada salahnya jika mengarahkan penumpang untuk turun ke landasan sebelum naik ke terminal. Apa salahnya jika itu yang mampu untuk mengurangkan harga tiket penerbangan.

Kos dapat dikurangkan jika tidak menggunakan aerobridge

Isu ini mungkin sudah terlalu ‘klise’ terutamanya menjelang musim perayaan. Walaupun ‘klise’ tetapi ia tetap memberikan bebanan kewangan kepada pengguna. Maka kerajaan perlu merangka strategi setiap kali sebelum menjelang musim perayaan. Kerajaan mungkin perlu mengarahkan supaya setiap syarikat penerbangan mengenakan kadar tambang yang tetap atau berpatutan seperti RM149 untuk perjalanan sehala ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.

Soal kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat penerbangan jika kerajaan melaksanakan penetapan harga tiket mungkin tiada atau hanya pada kadar yang minimum kerana pelanggan akan bertambah semasa musim perayaan. Malah, penetapan harga tiket juga hanya pada musim-musim tertentu.

Dalam hal ini, kerajaan dan pihak syarikat penerbangan juga perlu mempunyai sikap ‘bertimbang rasa’. Kita tidak mahu ada ‘wajah tua’ yang menunggu penuh pengharapan agar si perantau pulang, namun penantian itu hanya sia-sia kerana si anak tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here