Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu memberikan impak yang besar terhadap umat Islam di negara ini. Hal itu juga telah mendapat perhatian dari kerabat diraja seperti Sultan Johor dan Sultan Selangor. Mana peranan para pemimpin Islam? Ya, walaupun Kerajaan dan KDN telah memfailkan rayuan atas keputusan kes itu, ia tidak cukup kuat untuk mempertahankan agama Islam yang syumul ini. Sebarang keputusan boleh saja terjadi, sama ada ia berpihak kepada kita atau sebaliknya.

Firman Allah SWT:

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (QS Al-A’raaf; 7: 180)

Wahai para pemimpin Islam, ini masanya untuk kita bergabung, memperjuangkan serta mempertahankan kesucian nama Allah SWT dari terus diinjak-injak oleh musuh Islam. Kita ini kelompok majoriti, kenapa kita sering dibuli oleh penganut minoriti? Kerana fahaman politik yang berbeza-beza!

Bukankah agama Islam ini menyatukan semua? Sudah-sudahlah bermain politik, fokus untuk mempertahankan agama Islam dari terus dihina. Bukannya meletakkan politik dan agama sama rata, agama wajib didahulukan dari urusan dunia.

Sekarang, dua orang Sultan sudah mula membuka bicara, jangan sampai yang lainnya murka. Bak kata Baginda berdua, kalimah Allah merupakan nama yang khusus kepada tuhan yang disembah oleh umat Islam. Nama Allah ini diberi oleh diri-Nya bukan berasal daripada mana-mana akar kata tetapi kata nama khas yang merujuk kepada AllahTuhan Yang Maha Esa, tuhan yang disembah oleh umat Islam.

Kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Ketegasan para pemimpin Islam seharusnya ditunjukkan secara jelas kerana ia berkait rapat dengan sensitiviti agama yang berkemungkinan boleh mengundang malapetaka yang tidak diingini. Menurut Syaikh Sholeh al Fauzan, pemimpin yang tegas tetapi fasik itu jauh lebih baik daripada pemimpin yang soleh namun tidak tegas.

Mengapa? Kerana ketegasannya amat bermanfaat bagi kaum Muslimin walaupun dia dekat dengan maksiat kerana itu urusannya dengan Allah. Sedangkan pemimpin yang soleh tetapi tidak amanah, tidak wajar menjadi pemimpin. Karena sifatnya itu adalah kemanfaatan untuk dirinya sendiri dan mendatangkan banyak keburukan bagi rakyat.

Rasulullah SAW bersabda:

“Dengarkan dan patuhilah penguasa, meski penguasa tersebut memukuli punggungmu dan merampas hartamu. Tetap dengarlah dan taat.” (HR Muslim)

Dalam hal ini, dua pemerintah utama yang mulia akhlaknya menyeru supaya semua umat Islam tidak kira apa jua kedudukan sama ada pemimpin ataupun marhaen mempertahankan kesucian nama Allah demi agama Islam yang suci.

Apa alasan kita untuk tidak memperjuangkannya? Apabila orang Islam sudah tidak berkeupayaan bersepakat dalam isu yang sebegitu penting, malahan ada pula yang membuka pintu bagi pencerobohan itu, maka kerja-kerja merempuh had agama Islam akan menjadi kian mudah dan terancang.

Wahai para pemimpin Islam, bersatulah kamu semua dengan umat Islam lainnya dalam mempertahankan segala hak kepunyaan umat Islam. Jangan mempolitikkan isu ini, kukuhkan perpaduan, cakna arahan pemerintah agar maruah Islam sentiasa terpelihara. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (QS Ali Imran: 19)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here