Adakah rakyat Malaysia tahu bahawa Jalur Gemilang ini dilindungi oleh beberapa akta? Ya, jangan terkejut sekiranya ada beberapa akta yang telah diwartakan bagi melindungi kedaulatan Jalur Gemilang daripada tercemar. Terdapat tiga akta yang telah diwartakan bagi melindungi Jalur Gemilang antaranya Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan seseorang itu didenda tidak melebihi RM1,000 jika didapati bersalah.

Selain itu, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 turut dikenakan dan sekiranya seseorang individu didapati bersalah, maka hukuman penjara tidak melebihi tempoh enam bulan dan denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya akan dikenakan. Manakala denda RM1,000 akan dikenakan kepada pertubuhan atau perbadanan yang dikesan melakukan kesalahan dalam mengibarkan bendera. Akan tetapi, sekiranya ada pihak yang didapati menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap bendera Jalur Gemilang yang bertujuan mecemar nama baik atau menghasut, mereka akan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Negara Malaysia kecoh seketika dengan tularan gambar Jalur Gemilang yang digantung secara terbalik

Seperti yang diketahui, Jalur Gemilang bukanlah sekadar sebuah bendera bagi rakyat Malaysia. Ia ibarat maruah yang wajib dipelihara terutamanya terhadap setiap warna yang terdapat diatasnya. Warna kuning misalnya, semua orang mengetahui kuning yang terdapat di Jalur Gemilang melambangkan kedaulatan Raja Berpelembagaan dan Yang Dipertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi negara. Selain itu, ia juga turut mendukung dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.

Di samping itu, warna-warna lain juga turut memainkan peranan penting terhadap Jalur Gemilang. Biru melambangkan tanda perpaduan, merah melambangkan tanda keberanian, sementara putih pula menunjukkan tanda kesucian. Manakala peranan bulan dan bintang yang terdapat di bendera menunjukkan Islam sebagai agama rasmi bagi Malaysia dan 13 negeri bersekutu serta sebuah kerajaan persekutuan.

Dalam hal ini, rakyat Malaysia seharusnya tahu akan peraturan dalam mengibarkan Jalur Gemilang dan memahami akta serta tatacara menggunakannya. Hal ini kerana Jalur Gemilang merupakan penanda aras bagi kegemilangan Malaysia dan perpaduan serta kesepakatan semua kaum di negara ini. Bukan itu sahaja, ia juga diibaratkan sebagai ‘benteng pertahanan’ bagi negara ini dari ancaman anasir-anasir negatif yang cuba untuk menjatuhkan kredibiliti Malaysia.

Jalur Gemilang merupakan simbolik maruah dan jati diri rakyat Malaysia

Ironinya, semua rakyat Malaysia berhak mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik nasionalisme dalam diri mereka. Akan tetapi, beberapa syarat dan peraturan haruslah dipatuhi dalam memelihara kedaulatan semasa mengibarkannya. Mengikut arahan Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994, pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan Badan-Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan diarahkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang selain daripada sekolah-sekolah. Namun, ia perlulah dilakukan mengikut ukuran spesifikasi yang ditentukan oleh kerajaan dan tidak harus dikibarkan dalam keadaan uzur dan koyak kerana ia jelas menunjukkan kesalahan dan termaktub dalam undang-undang negara ini.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menghormati Jalur Gemilang kerana ia merupakan maruah bagi masyarakat negara ini. Ia juga simbolik kepada perpaduan kaum yang hidup dalam aman damai serta harmoni. Sekiranya ia tidak dihormati oleh rakyatnya sendiri, siapa lagi yang boleh diharapkan? Sempena bulan kemerdekaan ini, mari tunjukkan rasa kasih dan sayang kita terhadap negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang tanda beruntungnya menjadi rakyat Malaysia yang hidup aman dan makmur sehingga kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here